• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kemerdekaan Perlu Selari Dengan Tuntutan Islam

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos- “Kemerdekaan yang dibawa oleh Islam ialah kemerdekaan manusia dari hati syirik kepada beriman kepada Allah, daripada jiwa yang kotor, lalai kepada jiwa yang tenang dan daripada akal yang penuh dengan kejahilan kepada akal yang penuh dengan pencerahan ilmu,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Katanya, rakyat Malaysia harus bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi kini  kerana mereka telah berjaya menguasai, memimpin dan mengatur hidup, negeri dan negara ini berasaskan cara mereka sendiri.

“Tetapi harus diingat, jika merdeka cuma dalam konteks penjajahan fizikal khususnya penjajahan ketenteraan terhadap sesebuah negara, tetapi pemikiran mereka sama dengan pemikiran penjajah dan hati masih lagi dibelenggu dengan hati penjajah, mereka masih lagi tidak merdeka pada konsep Islam yang sebenar.

“Kepesatan teknologi hari ini telah memudahkan ancaman penjajahan bentuk baharu terutamanya dalam bentuk budaya dan pemikiran, justeru inilah yang kita hendak  sedarkan kepada seluruh umat Islam dan rakyat negara ini bahawa selamat merdeka itu, selamat pemikiran dan hati kita dari penjajah, bukan zahir semata tetapi jiwa kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung pada program Salam Chit Chat Santai Daie yang dianjurkan oleh Akademik Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) di Galeri Drawbridge, hari ini.

Katanya, erti kemerdekaan ada kalanya dicemari ideologi ekstrim seperti liberalisme hingga ada terpesong daripada penghayatan kemerdekaan sebenar.

“Justeru, kemerdekaan perlu disambut menurut tuntutan Islam yang membezakan diri daripada pihak penjajah serta golongan menyalahi Islam serta kembali kepada ajaran Islam sebenar,” ujarnya.