• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kempadang Angler 'Tawan' Terengganu Tenggiri Challenge 2022

MARANG, 10 Oktober - Pasukan Kempadang Angler dari Kuantan, muncul juara Terengganu Tenggiri Challenge (TTC) 2022 apabila berjaya menaikkan tujuh ekor tenggiri dengan jumlah berat keseluruhan 25 kilogram.

Wakil pasukan, Sahfarin Salim, 39 menyifatkan kemenangan tersebut sebagai rezeki mereka sepasukan.

"Ini pertandingan pertama yang kami sertai untuk tenggiri challenge jadi, tentulah gembira sebab kami orang baru.

"Hari ini, pertandingan bermula agak lewat dan keadaan laut bergelora menyebabkan kita ada masa yang pendek untuk mendapatkan ikan.

"Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada kami," katanya ketika ditemui selepas program berkenaan di Pulau Kekabu, di sini kelmarin.

Beliau yang bekerja sebagai perunding jualan kenderaan itu turut menyokong program TTC dijadikan sebagai program tahunan sebagaimana saranan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman.

"Pertandingan ini sangat baik, saya amat berbesar hati YB mengumumkan akan menilai untuk menjadikannya sebagai program tahunan.

Dengan hadiah berbaloi dan berskala besar, apatah lagi jika dinaikkan nilai hadiah ia mampu menarik lebih ramai penggiat sukan memancing," katanya.

Program anjuran Jabatan Pelancongan Terengganu itu menghimpunkan seramai 200 penggiat sukan memancing di Marang, sekaligus membantu merancakkan ekonomi setempat selama dua hari ia berlangsung.

Pengarah program, Taufik Samsuddin berkata, penganjuran kali keempat itu mendapat sambutan hangat dari kalangan peminat sukan air itu.

"Kita bermula pada tahun 2016 di Pulau Kapas, selepas itu berlangsung di sini bagi kali kedua dan ketiga.

"Penganjuran terhenti akibat pandemik COVID-19 melanda, namun tidak sangka penganjuran tahun ini menerima sambutan hebat.

"Dalam sehari sahaja, permohonan penyertaan telah penuh diisi," katanya.

Beliau turut gembira dengan hasrat menjadikan TTC sebagai program tahunan.

"Sebagai penggiat sukan memancing, program ini bukan sahaja memartabatkan sukan memancing tetapi memperkenalkan tempat-tempat terbaik di Terengganu.

"Kita sebagai duta kecil dalam mengangkat nama Terengganu," katanya.

 

 

 

 

 

 


Tag: