• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kempen PH-BN Londeh Niat Jahat Sendiri

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kempen PH-BN yang menyatakan pentingnya memilih Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan daripada parti politik sama adalah strategi 'melondehkan kejahatan' sendiri.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata hujah kononnya bagi memastikan peruntukan dan pembangunan akan sampai ke Terengganu sebenarnya amat lemah kerana Terengganu adalah salah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan dan hubungan ini dijamin oleh asas perlembagaan yang kukuh.

Katanya, Pemberian Persekutuan kepada negeri juga sudah pun termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan ini.

“Secara umumnya Terengganu menerima 10 jenis pemberian daripada Persekutuan yang kesemuanya berjumlah sekitar RM400 juta setahun.

“Pemberian ini termasuklah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri, Pemberian Di Bawah Senarai Bersama, Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup.

“Geran Tahunan Kepada Pihak Berkuasa Tempatan (GTBKK) dan Pemberian Mengikut Bilangan Penduduk,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Isu Semasa bertempat di Pusat Media PAS Terengganu, Lot 9k Plaza Padang Negara Terengganu di sini hari ini.

Tambah Dr Alias, secara demokrasinya pula, tidak disyaratkan sedemikian (kerajaan sama parti di peringkat negeri dan Persekutuan).

Bahkan, dalam sesebuah kerajaan pun boleh terdiri daripada parti-parti yang bervariasi ideologi sementelah lagi kerajaan yang dibentuk di peringkat yang berbeza.

Selain itu, meletakkan syarat peruntukan akan disalurkan jika Kerajaan Negeri dan Persekutuan daripada parti yang sama merupakan suatu pencabulan demokrasi dan penafian hak yang nyata.

Seterusnya, sejarah juga menunjukkan bahawa sejak sekian lama Terengganu diperintah oleh BN di peringkat negeri dan Persekutuan sebelum ini.

“Terengganu masih terkebelakang pada aspek sosioekonomi dan pembangunan berbanding negeri-negeri lain.

“Harus diketahui juga bahawa sejak 2018 sehingga 2022, Kerajaan Negeri menerima Dana Khas / Pemberian Khas daripada Persekutuan berjumlah lebih RM6.3 bilion atau secara purata RM1.2 bilion setahun.

“Pemberian yang sudah menjadi amalan sejak lebih 20 tahun ini sepatutnya diteruskan dan ditambah baik,” ujarnya.

Namun, PM ke-10 menerusi Ucapan Belanjawan 2023 dan sikapnya sehingga kini secara terang- terangan cuba untuk mengelak daripada Kerajaan Negeri menerima sepenuhnya dana ini.


Tag: