KUALA TERENGGANU, 15 Februari - Program Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Ops Siaga Raya Tahun Baru Cina 2026 telah dirasmikan hari ini di KTCC Mall sebagai langkah memperkukuh tahap kesiapsiagaan masyarakat menghadapi musim perayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah menegaskan kepentingan kesedaran awam khususnya ketika negara menyambut tiga sambutan utama secara berdekatan iaitu perayaan Tahun Baharu Cina, Ramadan dan perayaan Aidilfitri.

"Justeru, kita mengharapkan agar masyarakat sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan kemungkinan berlakunya kebakaran termasuk isu-isu yang berkaitan.
"Kempen pada hari ini mengajak rakyat supaya sedar dan mengambil langkah berjaga-jaga serta memahami kaedah mencegah kebakaran," katanya.

"Terdapat program yang dibentuk untuk memupuk kesedaran kebakaran sejak dari kecil seperti Kelab Bomba Cilik yang mensasarkan penyertaan dari kanak-kanak.
"1RAPI (1 rumah 1 alat pemadam api) pula adalah satu program yang mensasarkan setiap isirumah mempunyai 1 alat pemadam api yang tersedia untuk digunakan semasa kecemasan" tambahnya.
Jelas Wan Sukairi, inisiatif itu bertujuan memberi pendedahan mengenai langkah pencegahan awal dan tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan di kawasan kediaman.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu, YS PPjB Nor Mahathir Muhamad, memaklumkan kempen itu melibatkan pelaksanaan penguatkuasaan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) yang bermula dua minggu bagi setiap sekitar musim perayaan.

"Lebih optimum terutamanya apabila berlaku peningkatan mendadak di pusat-pusat premis-premis perniagaan seperti contoh KTCC Mall, Mayang Mall dan tempat-tempat tumpuan orang ramai berada untuk persiapan hari raya," ujarnya kepada pemberita, sebentar tadi.
Program kempen itu tadi turut diisi dengan pameran keselamatan kebakaran, demonstrasi kebombaan serta edaran bahan pendidikan kepada pengunjung pusat beli-belah sebagai usaha berterusan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aspek pencegahan kebakaran.