lightning-solid
Berita :
Kemunculan Gajah Liar Cetus Kebimbangan Pengguna Jerangau-Jabor
Kemunculan Gajah Liar Cetus Kebimbangan Pengguna Jerangau-Jabor
Muhammad Amiruddin Zamri
1 hari yang lepas
160

KEMAMAN, 17 Ogos - Kehadiran lebih 10 ekor gajah liar yang berkeliaran di tepi laluan utama Jerangau-Jabor berhampiran Bandar Cheneh Baru, pagi tadi, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya yang bimbang haiwan berkenaan tiba-tiba melintas dan mengundang risiko kemalangan.

Kumpulan gajah itu dipercayai merupakan kumpulan sama yang sebelum ini dikesan berkeliaran di sekitar Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2), berhampiran Plaza Tol Cheneh.

Seorang penduduk, Hasibi Jaafar, berkata kemunculan sekumpulan gajah berkenaan di tepi jalan menimbulkan kebimbangan penduduk kerana ia berpotensi melintas laluan utama yang sering digunakan kenderaan.

“Pagi tadi kita tengok lebih kurang sepuluh ekor atau lebih, berada di tepi-tepi jalan. Kita pun bimbang takut gajah itu melintas jalan, sebab banyak kenderaan melalui kawasan ini," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Zamzuri Hassan, berkata keadaan itu amat membimbangkan terutama selepas berlaku kemalangan melibatkan gajah di kawasan lebuh raya sebelum ini.

“Memang bahaya. Baru-baru ini pun sudah berlaku kemalangan di lebuh raya. Sekarang gajah ini merata-rata, mungkin kerana habitatnya terganggu dan menyebabkan ia bergerak ke kawasan yang berhampiran dengan manusia,"katanya.

Justeru, orang ramai berharap pemantauan serta tindakan segera dapat dilakukan pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat, selain mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung, ketika dihubungi berkata, pihaknya kini menjalankan kawalan pada waktu malam serta pemantauan menggunakan teknologi dron di kawasan terbabit.

Langkah berkenaan dilakukan bagi memantau pergerakan kumpulan gajah terbabit serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya tidak panik atau menghampiri gajah sekiranya terserempak dengan haiwan berkenaan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membaling objek, membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi dan lampu suluh secara terus ke arah gajah kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan haiwan berkenaan berasa terancam dan bertindak agresif.

Pengguna jalan raya juga diminta supaya lebih berhati-hati ketika melalui laluan Jerangau-Jabor, khususnya pada waktu malam dan awal pagi, serta segera melaporkan sebarang pergerakan gajah liar kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.


Tag :

Artikel Berkaitan