• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Kenaikan Gaji Satu KGT Untuk Penjawat Awam Negeri Terengganu



Menteri Besar bergambar dengan pemimpin dan sebahagian wanita Barisan Nasional selepas melancarkan JR PLUS Negeri Terengganu dan Jentera PRU14 Wanita Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.
Kerajaan negeri hari ini, mengumumkan berita gembira untuk kakitangan awam di seluruh Terengganu apabila memberi kenaikan gaji bersamaan jumlah satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) khas kepada semua 10,488 penjawat awam.

Kenaikan bermula 1 Julai ini melibatkan kos RM7.06 juta itu kepada semua penjawat awam negeri yang berstatus tetap, kontrak dan sementara.


Berita gembira itu juga selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd  Najib Tun Razak yang memberikan KGT khas kepada semua penjawat awam berjumlah 1.6 juta orang di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Mingguan Exco semalam sebagai menghargai kakitangan awam negeri selaras dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri kepada kakitangan awam Persekutuan sebelum itu.

"Apa yang diumumkan semalam khas untuk kakitangan Persekutuan, dan hari ini kerajaan negeri Terengganu turut melakukan perkara yang sama dan akan melibatkan peningkatan kos lebih RM7 juta setahun yang ditanggung oleh kerajaan negeri.

"Terengganu menjadi negeri yang pertama melaksanakan perkara yang serupa dengan apa dilancarkan oleh di peringkat Pusat semalam,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan JR PLUS Negeri Terengganu dan Jentera PRU14 Wanita Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini

Turut hadir Pengerusi Wanita Barisan Nasional Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.


Tag: