lightning-solid
Berita :
Kenyir Rangers Kawal, Lindung Sumber Alam
Kenyir Rangers Kawal, Lindung Sumber Alam
Noraini Jusoh
31 Jul 25
491

KUALA TERENGGANU, 31 Julai – Pasukan Pemantauan Tasik Kenyir yang ditubuhkan pada tahun 1997 dijenamakan semula kepada nama baharu iaitu Kenyir Rangers.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha tersebut mencerminkan keseriusan kerajaan negeri dalam melindungi dan memulihara khazanah biodiversiti di Tasik kenyir. 

“Pemerkasaan pasukan Kenyir Rangers adalah berdasarkan justifikasi perubahan peranan agensi-agensi yang berada di bawah pasukan Kenyir Rangers sebelum ini.

“Serta kewujudan agensi baharu di Tasik Kenyir seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT) dan Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) yang juga memainkan peranan penting dalam usaha pengawalan dan perlindungan sumber alam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sehingga kini pasukan Kenyir Rangers dianggota oleh 16 agensi melibatkan MPTNT, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) serta LAUT.

“Selain Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Pejabat Tanah Hulu Terengganu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Terengganu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.
  
“Termasuk juga, Jabatan PERHILITAN Negeri Terengganu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu, Jabatan lmigresen Negeri Terengganu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu, Jabatan Kastam DiRaja Negeri Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” ujarnya.

Menurut Razali, pasukan Kenyir Rangers ditubuhkan bertujuan untuk mengadakan satu sistem kawalan bagi memastikan semua aktiviti pembangunan di Tasik Kenyir mengikut undang-undang dan syarat-syarat yang ditetapkan. 
 
“Ia juga bagi mewujudkan satu sistem kawalan yang berkesan dan efektif supaya semua tindakan penguatkuasaan undang-undang di Tasik Kenyir dapat diselaraskan. 
 
“Disamping memelihara khazanah negeri dan segala aset yang amat berharga di seluruh Tasik Kenyir supaya tidak dicerobohi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Razali berkata, pasukan Kenyir Rangers turut dibantu oleh dua Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai rakan teknikal iaitu Panthera dan Nature Based Solutions.

“NGO ini berperanan mendapatkan maklumat yang memberikan perspektif yang menyeluruh merangkumi  pelbagai aspek berkaitan isu di Tasik Kenyir.

“Sama ada daripada pangkalan data peronda SMART, data profil SMART mengenai pencerobohan, data perangkap kamera biologi, pemerhatian yang dibuat oleh peronda, laporan pencerobohan, temu bual yang dibuat antara agensi, temu bual yang dibuat kepada suspek dan temu bual dikalangan masyarakat setempat,” ujarnya.

  
 


Artikel Berkaitan