• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Keperluan Mangsa Banjir Diutamakan

DUNGUN, 8 Januari – Kerajaan negeri akan memastikan segala keperluan dan permasalahan mangsa banjir yang terjejas di daerah ini diatasi segera.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pihaknya sedang giat menangani isu yang dihadapi mangsa banjir dari segi kesesuaian pusat pemindahan sementara (PPS) dan keperluan berbangkit.

Katanya, melihat kepada kesesakan di PPS Dewan Serbaguna Kampung Rantau Panjang, satu keputusan telah dibuat untuk mewujudkan PPS di kawasan bukit berdekatan kampung itu.

"Pihak kami sedang dalam proses menunggu peruntukan bagi menyediakan tempat berteduh alternatif kerana PPS sedia ada tidak selamat seperti disaksi ketika peristiwa banjir tahun 2014.

“Pusat Khidmat Masyarakat Bukit Besi juga sedang giat menyelesaikan isu bekalan elektrik di tujuh PPS yang terputus akibat ‘substation’ ditenggelami air.

“Lima penjana elektrik akan dipinjam dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) manakala dua lagi sedang diusahakan supaya mangsa tidak perlu bergelap pada waktu malam lagi,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) atas usaha mengagihkan bantuan awal berbentuk 39 kit banjir di kawasan tersebut.

“Pada peringkat DUN, kita akan usaha sebaik mungkin dengan menghantar barangan keperluan mentah seperti ayam dan sayur bersama jentera bot Unit Amal,” ulasnya lagi.

Terdahulu, seorang mangsa di PPS Dewan Serbaguna Kampung Rantau Panjang, Ruslim Yusof, 50, menyuarakan cadangan supaya PPS di kampung tersebut ditambah bagi menampung hampir 200 lebih penduduk yang berisiko untuk dipindahkan.

“Tidak muat dewan ini bagi kita semua, tambah lagi dengan norma baharu yang memerlukan penjarakan sosial,” katanya yang juga bapa kepada empat orang anak.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kampung tersebut, Nor Zakirah Mohd Zaid, 30, turut menyuarakan kerisauan terhadap keadaan PPS tersebut kerana wujudnya risiko kenaikan air.

“Sekarang dengan 36 keluarga juga sudah tidak muat, dan beberapa mangsa telah dihantar ke rumah sanak saudara berdekatan, kita perlu membuka khemah di kawasan bukit berdekatan bagi menampung penghuni kepada lebih 90 rumah di kampung ini," katanya.