• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Kerajaan Akan Putuskan Yang Terbaik Untuk Vaksinasi Calon SPM

KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, pihaknya memberi tumpuan dan akan memutuskan keputusan terbaik terhadap pelaksanaan vaksinasi bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang akan memulakan sesi pembelajaran di sekolah September ini.

"Untuk calon SPM sebagaimana yang telah pun diumumkan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba baru-baru ini, mereka yang cukup 18 tahun akan diberi suntikan vaksin.

"Insya-Allah, proses suntikan vaksin kepada mereka dijangka akan selesai sebelum peperiksaan berlangsung," katanya ketika ditemui pemberita selepas agihan bakul makanan pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi Parlimen Kuala Terengganu di Kuala Ibai, hari ini.

Amzad bersama ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil (kiri) mengagihkan bakul makanan PEMULIH kepada penduduk di Kondo Rakyat Kuala Ibai.

Tambahnya, bekalan vaksin tidak lagi menjadi masalah kepada pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Bekalan vaksin tiada masalah. Keseluruhan vaksin Sinovac akan selesai penghantaran berjumlah 12 juta dos sebelum hujung Julai. Manakala, pada Ogos pula kita banyak menerima Pfizer iaitu lebih kurang 4.5 juta dos sehingga program ini selesai.

"Untuk bulan ini sahaja kita ada 16 juta dos vaksin. Cuma, penekanan kepada pelaksanaan suntikan di mana Terengganu menjadi antara yang terbaik dalam pelaksanaan ini selain Kedah dan Perlis yang mencatat lebih 90 peratus pelaksanaan vaksinasi," katanya.  

Menurut Amzad, bagi membolehkan rentak pemvaksinan tidak terganggu, pihaknya juga akan memastikan ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terus dibuka sepanjang Aidiladha nanti.

"Namun, tidak boleh dinafikan akan ada penurunan suntikan harian pada masa itu.

"Bagaimanapun, kita telah atasi kekurangan ini dengan suntikan harian yang lebih tinggi pada hari-hari lain di mana kita telah berjaya catat angka 460,000 suntikan dan semalam pun kita masih lagi mencatat angka lebih 400,000 suntikan harian," katanya.

Amzad bersama ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil (kanan) dan Pengarah UPDI, Mohd Soud, menyampaikan pesanan berkaitan vaksinasi Covid-19 kepada penduduk Kondo Rakyat menggunakan pembesar suara. 

Jelasnya, kerajaan menyasarkan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok bagi populasi dewasa pada hujung Oktober, manakala 80 peratus imuniti bagi populasi keseluruhan menjelang penghujung tahun.

 "Antara langkah kita mengatasi varian baharu ini juga adalah dengan mencukupkan imuniti kelompok ini.

"Sekarang, kita mula menunjukkan angka jangkitan dalam bentuk pecahan kategori supaya rakyat boleh faham dengan vaksinasi kita berjaya mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 dan kes-kes kritikal di hospital," katanya.


Tag: