• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Kerajaan Berbudi, Perantau Berbahasa

KUALA TERENGGANU, 25 April- Seiring kecaknaan kerajaan negeri kepada anak-anak Terengganu di perantauan, ramai dikalangan perantau anak negeri tampil menyumbang idea dan kemahiran dalam membangunkan negeri ke arah lebih baik.

Setiausaha Agong Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), merangkap Setiausaha Sekretariatnya, Awasi Mohamad memaklumkan, kerajaan Terengganu kini banyak membantu anak-anak negeri di luar melalui pelbagai insentif sebagaimana yang diberikan kepada rakyat di dalam negeri.

"Kami nampak kerajaan Terengganu prihatin kepada perantau.

"Banyak perkara yang anak-anak rantau dapat daripada kerajaan negeri. Sekarang ini, hampir semua yang rakyat Terengganu dapat, kita dapat antaranya insentif-insentif daripada Yayasan Pembangunan Usahawan, juga i-Perantau dan bantuan-bantuan lain seperti Tabung Darul Iman yang membiayai sebahagian kos perubatan.

"Begitu juga apabila kami menerima musibah, pimpinan sendiri turun ke lapangan menyantuni perantau," katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Raya Anak-anak Perantau Terengganu di Taman Tamadun Islam, malam tadi.

Sehubungan itu jelasnya, ramai anak-anak negeri mula tampil memberikan kerjasama dan idea-idea dalam memperkemaskan pentadbiran kerajaan negeri.

"PERANTAU membuat beberapa hubungan dengan anak-anak rantau, secara langsung dan tidak langsung kita menerima 'input' daripada anak-anak Terengganu yang profesional dalam bidang masing-masing.

"Banyak sebenarnya yang berjaya dalam bidang korporat di luar dan mereka tampil memberi 'input' terutama dalam Belanjawan, Manifesto, lalu kami mengumpulkannya dan menyalurkan kepada kerajaan negeri.

"Bahkan, perantau sendirit terlibat dalam merangka PITAS 2030," katanya.

Dalam majlis berkenaan yang dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dianggarkan lebih 5,000 tetamu hadir menikmati hidangan yang disediakan.

"Bagi pihak Perantau, kita amat terharu dengan sambutan ini dan dari segi kecaknaan kerajaan negeri sendiri kepada perantau.

Sebenarnya, penerimaan para tetamu amat diluar jangkaan. kita sasarkan sekitar 2,000 tetamu tetapi saya anggarkan sekurang-kurangnya 4,000 telah hadir, tetamu datang seawal 7.30 ptg tadi dan ada yang balik awal barangkali kerana tidak cukup tempat.

"Insya-Allah, akan datang kita cuba dapat tempat yang lebih luas," katanya.

 

 

 

 


Tag: