Perdagangan Terengganu Catat Lonjakan, Imbangan Dagangan Naik 60.1 Peratus
Kerajaan Beri Keutamaan 'Pelihara' Kawasan Kritikal Bencana
KUALA TERENGGANU, 19 April – Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti lokasi-lokasi kritikal yang terjejas akibat hakisan pantai dan mengambil langkah proaktif dengan mengemukakan permohonan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Pengerusi Jawatankuasa Infrasruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat, berkata, penilaian tahap kritikal dilakukan bagi memastikan kawasan yang paling terkesan diberi keutamaan dalam pelaksanaan projek mitigasi hakisan pantai.
Katanya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri terus komited dalam menangani isu hakisan pantai yang semakin membimbangkan dengan melaksanakan pelbagai pendekatan bersepadu merangkumi kajian teknikal, pelaksanaan projek jangka pendek dan jangka panjang.
“Antara tindakan utama ialah pelaksanaan Kajian Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) Terengganu yang menjadi panduan jangka panjang kepada Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan dalam mengurus kawasan pesisir pantai.
“ISMP mengambilkira isu berkaitan masalah hakisan, muara dan juga guna tanah sepanjang pesisiran pantai di mana objektif pelaksanaan kajian ini adalah membantu Kerajaan dan pelbagai agensi di negeri di dalam membuat keputusan berkenaan pembangunan dikawasan pesisir pantai.
“Kajian ini menyasarkan beberapa objektif utama termasuk mengurangkan risiko hakisan serta banjir pantai, menyokong pembangunan pelancongan, melestarikan alam sekitar dan meningkatkan kualiti air laut.,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Selain ISMP, JPS turut menjalankan beberapa kajian teknikal khusus sebagai langkah penentuan penyelesaian jangka panjang.
Antaranya ialah Kajian Perlindungan Pantai Bukit Chendering-Kuala Marang (2007), Kajian Pantai Tok Jembal ke Pelabuhan Chendering (2011), Kajian Pantai Teluk Lipat Dungun (2011), serta Kajian Pantai Kuala Nerus (2021).
“Kajian-kajian yang berkaitan dengan pemuliharaan muara sungai juga mengambil kira risiko kejadian hakisan pantai serta langkah pencegahan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beberapa kajian pemuliharaan muara sungai turut dilaksanakan seperti di Muara Sungai Dungun, Muara Sungai Paka dan Muara Sungai Setiu sebagai langkah memperkukuh kestabilan kawasan pantai berdekatan.
Sebagai langkah segera, penyelesaian jangka pendek turut dilaksanakan menerusi pembinaan struktur lapis lindung batu (rock revetment) yang bertindak sebagai pelindung pantai sementara daripada hakisan, sebelum langkah kekal diambil.
“Bagi menangani masalah hakisan pantai adalah menggunakan struktur lapis lindung batu “rock revetment’.
“Rekabentuk yang dicadangkan bukanlah struktur kekal dan ianya bagi memberi perlindungan pantai yang mampu menahan hakisan dan mengurangkan kesan buruk terhadap kawasan yang terjejas,” ujarnya.
Hanafiah menambah, Kerajaan negeri turut mengambil langkah lebih menyeluruh dengan mengenal pasti lokasi-lokasi kritikal untuk pelaksanaan projek jangka panjang seperti pembinaan groyne, pemecah ombak, penambakan pasir dan struktur perlindungan lain.
“Oleh yang demikian, masalah ini perlu ditangani secara berperingkat memandangkan kos bagi melaksanakan kaedah mengawal hakisan pantai seperti pembinaan groyne, penambakan pasir, pembinaan lapis lindung batu mahupun membina struktur pemecah ombak bagi mencegah hakisan pantai adalah sangat tinggi,” kata Hanafiah lagi.