• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kerajaan Berusaha Penuhi Permintaan Tinggi Melon Manis Terengganu

BESUT, 11 April- Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pertanian negeri berusaha bagi memastikan Melon Manis Terengganu (MMT) mencukupi bagi memenuhi permintaan tinggi pengemarnya di seluruh negara.

Pengarahnya, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof berkata, walaupun jumlah pengeluarannya pada tahun ini mencapai 250 metrik tan namun ia masih belum mencukupi bagi menampung jumlah permintaan yang terus meningkat, sejak ia mula dipasarkan di 'hyper market dan 'supermarket' dalam negara.

"Jabatan Pertanian berusaha memperbanyakkan lagi usaha pengeluaran MMT dalam memastikan ia boleh mengeluarkan hasil yang banyak melalui 127 orang pengusaha yang ada di seluruh Terengganu.

"Koperasi Melon Manis Terengganu (KOPMET) akan mengatur jadual penanaman supaya ia dapat dikeluarkan sepanjang tahun membabitkan seluruh daerah yang terlibat dengan tanaman ini supaya peningkatannya bersesuaian dengan permintaan pasaran.

"MMT telah menjadi ikon buah di supermarket seluruh negara dan menjadikan ia sangat popular, dengan pasaran yang cukup baik ini saya menggalakkan ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat swasta menceburi bidang ini agar secara tidak langsung peluang pekerjaan kepada rakyat terutamanya kepada belia akan dapat diwujudkan," katanya.

Beliau berkata demikian keika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika mengadakan lawatan ke Tapak Projek PRE-Tanaman Fertigasi MMT, di Pengkalan Kubor, di sini baru-baru ini.

Lawatan yang diadakan secara 'walkabout' itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim.

Dalam pada itu Zulkepli berkata,rakyat khususnya belia di negeri ini juga digalakkan untuk mengusaha tanaman berkenaan dalam usaha kerajaan meningkatkan hasil pengeluaran.

"Terdapat inisiatif disediakan untuk membantu mereka dengan kita menyediakan pakej pinjaman mudah melalui Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) di mana mereka perlu mengikuti kursus serta mendapatkan pendedahan dan perlu juga mendapatkan nasihat daripada mereka yang telah berjaya,"katanya.

Sementara itu, Dr. Azman berkata, MMT mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjana pulangan yang lumayan walaupun kosnya penanamannya agak besar.

"Disebabkan itu, ia menjadi sebahagian daripada program pembangunan di tanah terbiar yang menjadi sasaran kerajaan negeri dan kita juga telah mengadakan perbincangan untuk mendapatkan pensijilan MyGAP supaya produk ini boleh menembusi pasaraya-pasaraya ternama untuk dipasarkan,"ujarnya.


Tag: