• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Susulan penemuan bangkai penyu yang mati kerana dibunuh dan dianiaya dengan kejam, Jabatan Perikanan Malaysia negeri sedang mengumpulkan bukti bagi menahan pelaku .

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bukti haiwan reptilia berkenaan mati akibat dianiayai telah disahkan setelah proses bedah siasat dilakukan.

Kata beliau, pihaknya tidak menolak punca perbuatan khianat itu dilakukan sama ada oleh nelayan atau pelancong.

"Cuma kita masih belum mempunyai bukti-bukti yang jelas serta menyakinkan dan mereka yang melakukan perbuatan berkenaan akan diambil tindakan berat selaras dengan peruntukkan didalam Enakmen Penyu Terengganu.

"Jika sabit kesalahan pelaku boleh dikenakan denda ratusan ribu ringgit, ini terpakai bagi sesiapa yang melakukan perbuatan mengancam, mencedera atau membunuh penyu," tegasnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media pada sidang medianya, selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Dalam pada itu, Dr Azman mengharapkan rakyat Terengganu terutamanya penduduk di pesisir pantai agar menjadi telinga dan mata kerajaan untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai perbuatan-perbuatan yang melanggar undang-undang berkait haiwan terbabit.

"Perlu memiliki sifat 'sense of belonging', agar khazanah yang penting ini dapat kita pelihara," ujarnya.