• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Kerajaan Digesa Naik Taraf Fasiliti Sukan di Setiu

KUALA LUMPUR, 14 September– Kerajaan Persekutuan digesa supaya menaik taraf kemudahan dan fasiliti sukan di Setiu agar pembangunan sukan tidak terbantut.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, Setiu telah melahirkan ramai atlet yang mewakili negara terutamanya dalam sukan bola sepak seperti Hairuddin Omar, Rahadi Azli Rahalim dan Zubir Azmi.

“Malangnya projek naiktaraf Mini Stadium Sungai Tarom telah dicadangkan dalam Rolling Plan (RP) 2 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tetapi sehingga kini masih belum diluluskan.

“Dan juga baikpulih fasiliti sukan termasuklah baikpulih Gelanggang Futsal Tertutup Kampung Beris Tok Ku, Kampung Apal, Jabi dan Kampung Gong Sekolah, Batu Rakit," katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau juga menyatakan keperluan untuk dibaikpulih fasiliti sukan di Sekolah Sukan Bukit Nenas.

"Yang mana sekolah ini telah melahirkan ramai atlet yang mengharumkan nama negara," jelasnya.

Seterusnya, Shaharizukirnain turut membangkitkan isu perparitan tidak diselenggara dan dibaikpulih di kawasan-kawasan felda.

“Air bertakung yang melimpah masuk ke dalam rumah penduduk, contoh yang berlaku di kawasan saya di Felda Chalok Rahmat, Setiu,” ujar beliau.


Tag: