• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Kerajaan Dukacita Mural Pemimpin Negara Diconteng

Oleh : Azkar Zahidi

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kerajaan menzahirkan rasa dukacita apabila mural yang memaparkan beberapa pemimpin utama negara termasuk Yang di-Pertuan Agong di Taman Cahaya Alam, Shah Alam diconteng baru-baru ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim menegaskan, contengan mengandungi kata-kata kesat itu amat tidak wajar dan biadap serta bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang bersopan santun.

“Kita haruslah jaga mentaliti kita seiring hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju, rakyat perlu mempunyai mentaliti kelas pertama. Walaupun berlainan parti politik, tidak seharusnya tindakan sebegitu dilakukan.

“Kita sepatutnya berbangga kerana negara kita antara negara yang terbaik dalam menangani wabak pandemik COVID-19, bukannya dengan menulis perkara-perkara tidak elok seperti ini," ujar Ahmad Amzad ketika dihubungi pemberita.

Menurut beliau, perkara tersebut bertambah serius apabila Sultan Selangor, Sultan Syarafuddin Idris Shah sendiri telah melahirkan rasa murka terhadap insiden terbabit.

Dalam masa yang sama, beliau mahu tindakan segera diambil bagi menghukum dua individu yang tidak bertanggungjawab itu.

"Saya berharap pesalah dikenakan tindakan yang sewajarnya dan orang ramai dapat mengambil iktibar daripada kejadian yang kurang bermoral seperti ini," tambah beliau.