• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Jumpa Segera Kontraktor Perumahan Gong Cempedak

KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Kerajaan negeri akan berjumpa kontraktor penyelamat dan pemaju asal Perumahan Gong Cempedak dengan kadar segera bagi memastikan projek terbengkalai lebih 10 tahun lalu itu dapat diteruskan pembinaan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, langkah itu diambil bagi membela nasib pembeli rumah berkenaan walaupun ia merupakan projek swasta sepenuhnya yang tidak melibatkan peruntukkan kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri sudah mencari kontraktor penyelamat bagi memudahkan perbincangan dengan pemaju asal dalam konteks memberikan sub projek dan sebagainya untuk diselesaikan, insya-Allah selepas persidangan Parlimen nanti saya akan berjumpa semula dengan pihak terbabit.

"Sebelum ini telah berjumpa sebanyak dua hingga tiga kali pertemuan bersama kontraktor penyelamat, namun tiada tindakan yang diambil oleh pihak pemaju asal, jadi terpaksa kita panggil semula bagaimana dia hendak serahkan projek ini kepada 'kontraktor penyelamat'.

"Tetapi kita tidak boleh berjanji sebab pemaju ini banyak masalah, jadi tunggulah perjumpaan saya di Kuala Lumpur nanti bagaimana untuk diselesaikan. Saya mewakili pihak kerajaan negeri akan cuba, di samping tindakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang berjalan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ditemui pihak media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan 'Beach Comber' dan Traktor kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Hotel Primula, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan sebelum ini telah mengambl langkah melaporkan 'projek sakit' itu kepada pihak KPKT melalui unit khas kementerian terbabit bagi mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menyelesaikan isu berkenaan.

"Sementara itu kita berunding dengan pemaju yang terlibat, jadi saya difahamkan pemaju ini mengalami masalah kewangan sehingga dia hendak buat pinjaman sekali lagi, namun pihak bank tidak boleh lagi memberikan pinjaman.

"Itu merupakan antara masalah yang dihadapi oleh pemaju asal ini," ujarnya lagi.