• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kerajaan Komited Sokong Penuh Pelan NACP

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 10 Mac – Kerajaan negeri sentiasa komited memberi kerjasama dan komitmen menyokong penuh Pelan Antirasuah Nasional (NACP), yang diperkenalkan oleh kerajaan peringkat Nasional.

Yang Dipertua Dewan Undangan (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia merupakan sebuah pelan strategi yang penting dalam melaksanakan dasar anti-rasuah di Malaysia.

“Kerajaan negeri akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya atas apa-apa kegiatan oleh SPRM supaya negeri kita.

"InsyaAllah walaupun tak bebas rasuah, tapi dapat mengurangkan kadar rasuah pada tahap yang boleh dibanggakan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersama Pengarah SPRM Terengganu, Tuan Ruslan Amad, selepas lawatan kerja di Kompleks SPRM Terengganu Bandar Baru Bukit Besar, baru-baru ini.

Turut hadir bersama delegasi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abd Karim, ADUN Ajil, Maliaman Kassim, ADUN Pengkalan Bengkalan, Sulaiman Sulong, ADUN Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Wanita, Zuraida Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi Khairunnisa’, To’ Puan Hajah Zarani Othman.

Katanya, beliau turut menekankan berkenaan soal untuk mengurangkan kadar penglibatan rasuah adalah tanggungjawab semua pihak bukan hanya SPRM sahaja.

“Secara keseluruhan saya dapat simpulkan dalam dialog banyak isu yang ditularkan dalam media sosial dan juga dalam apa-apa ruang termasuk kedai kopi seumpamanya mendapat penjelasan baik daripada pihak SPRM.

“Dalam lawatan ini kami ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak SPRM kerana dapat beri taklimat dan dialog.,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Ruslan Che Amad berkata, pihak SPRM menasihati agar pelbagai pihak tidak kira pangkat supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Kita mempunyai peraturan yang sedia ada yang mana peraturan kita kena ikuti, berhubung cadangan kod etika ini kita perlu wujudkan di Terengganu khusus untuk ADUN.

“Sebab saya lihat ini satu tindakan atau perkara yang boleh kita tekankan daripada terlibat dalam perkara tidak sihat,” kata Ruslan.

Selain daripada itu, tambahnya, kod etika ini dapat memberi garis panduan kepada pihak EXCO atau ADUN dalam melaksanakan tugas mereka untuk menjalankan amanah yang dipikul.

“Saya dengar tadi banyak masalah dan keraguan yang timbul. InsyaAllah perkara ini kita dapat atasi kalau ada satu garis panduan yang khusus kepada mereka,” jelas beliau lagi.


Tag: