• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Lulus RM4.5 Juta Atasi Masalah Banjir

KEMAMAN, 22 Disember - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM4.5 juta bagi pembinaan empat laluan pembentung untuk mengatasi masalah banjir di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, projek itu akan dilaksanakan pada Jun depan di kawasan perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong.

"Projek ini diluluskan Perdana Menteri selepas kerajaan negeri membuat permohonan sebelum ini, berita baik ini telah dimaklumkan semasa kunjungan sebentar tadi

"Pembinaan pembentung sepanjang 30 meter ini dijangka akan bermula bulan Jun tahun hadapan dan siap dalam tempoh enam bulan, insya-Allah.

"Ini satu berita yang menggembirakan bagi penduduk di Kemaman khususnya yang tinggal di RMM Teluk Kalong selepas setiap tahun, mereka terlibat dengan banjir dan terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Di kawasan perumahan ini terdapat 500 rumah membabitkan lebih 2,000 penduduk dan saya berharap peruntukan besar ini mampu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengiringi Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat PPS di Sekolah Kebangsan (SK) Bukit Mentok hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid..

Ahmad Samsuri (kiri) dan Hanafiah (tengah) berbincang mengenai situasi banjir di Kemaman bersama Muhyiddin (kanan).

Dalam perkembangan berkaitan, Hanafiah memaklumkan, projek tebatan banjir atau sungai tiruan berhampiran Binjai ke Tasik Buku, Kemaman bagi fasa satu akan dimulakan Mac 2021.

"Fasa itu melibatkan kos RM150 juta, manakala peruntukan RM150 juta lagi bagi fasa kedua dengan tender akan dikeluarkan selepas (selesai) fasa pertama," ujarnya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai  itu, peruntukan tambahan RM40 juta turut dipohon bagi menyelesaikan beberapa urusan pengambilan tanah dalam fasa pertama.

"Apabila siap dalam tempoh antara lima hingga ke tujuh tahun lagi, kita harap banjir tidak akan lagi melanda bandar Chukai, insya-Allah," katanya.

 

 

 


Tag: