• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Mahu Perkasa Mahkamah Syariah Melalui RUU 355

KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Kerajaan pusat meneruskan hasrat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah secara komprehensif dengan pelbagai kaedah termasuk melalui pindaan Akta 355.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, komitmen negara bagi tujuan itu boleh dilihat apabila jawatankuasa teknikal untuk membuat dan menggubal beberapa akta atau pindaan-pindaan yang bersesuaian telah ditubuhkan.

“Ia melibatkan beberapa proses penting yang  perlu diteliti dan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum dibentangkan mengikut tertib dan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Ada diantaranya sedang menunggu untuk dibentangkan di Parlimen untuk dibincangkan mengikut kesuaian masa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Bersama Hakim-Hakim, Pegawai-Pegawai dan kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Tahun 2021 di Bilik Gerakan, Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat.

Katanya Dr Zulkifli, kerajaan akur bidang kuasa mahkamah berkenaan hari ini terbatas dengan peruntukan mengikut Akta 355 dan had hukuman diperuntukkan kadang kalanya dilihat tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan.

"Kini, kita dalam usaha penambaikan dan  memang memfokuskan lebih kepada menaikkan kadar hukuman sedia ada dengan melihat situasi semasa hari ini,”jelas beliau.

Sementara itu, mengulas tentang cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya melaksanakan sistem QR Code pada produk import di semua pintu masuk negara bagi mengesan daging tidak halal, pihaknya memberi jaminan akan menggunakan sistem berkenaan sebelum hujung bulan ini.

"Pihak kami sedang dalam proses meneliti proposal yang diserahkan berkaitan sistem ini dan insya-Allah sebelum akhir bulan ini, kami akan cuba laksanakan beberapa hal berkaitan dengan halal menggunakan sistem ini.

"Hasil perbincangan yang boleh dikatakan hampir setiap minggu dilakukan dengan pihak berkaitan mengenai sistem ini, pihaknya yakin penggunaan sistem QR Code pada produk import boleh menjamin keselamatan dan mengelak masalah seperti kartel daging haram berulang," katanya.


Tag: