KEMAMAN, 26 Julai - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris menyeru agensi dan syarikat swasta untuk tampil bersama-sama menyumbang dalam pemeliharaan haiwan-haiwan di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman.
Jelasnya, zoo adalah satu produk yang tidak membawa keuntungan terus kepada kerajaan, cuma memberi nilai pendidikan kepada generasi masa depan berkaitan haiwan-haiwan yang dapat dilihat.
Razali berpendapat, dengan penajaan atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada pihak syarikat dapat membantu proses pemeliharaan yang lebih baik sekali gus mampu memberi nilai komersial dari segi pemasaran kepada pihak terlibat.

"Saya akan berusaha untuk membantu MPK supaya apa yang ada dalam zoo ini kita boleh angkat dan kembangkan untuk sekurang-kurang menjadikannya sebagaimana Zoo Taiping," katanya.
Dalam pada itu, pengarah Zoo Kemaman, Wan Muzammir Wan Ariff memaklumkan bahawa zoo berkenaan memiliki lebih 300 spesies haiwan yang dipamerkan kepada umum.
