• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Akan Bantu Keluarga Mangsa Bot Terbalik Di Muara Kuala Dungun


Kerajaan negeri akan membantu keluarga mangsa yang kehilangan ketua keluarga akibat lemas dalam kejadian bot terbalik di muara Kuala Dungun, Rabu lalu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya memahami kesukaran yang sedang dihadapi keluarga kesemua empat mangsa yang seorang daripadanya ditemui lemas dan tiga lagi masih hilang serta akan memastikan mereka dibantu segera.

" Kerajaan memahami keperitan yang sedang keluarga mangsa hadapi. Jadi kita akan bantu sedaya upaya dengan kadar termampu untuk meringankan kesengsaraan mereka," katanya yang turut menyampaikan sumbangan kepada isteri dan waris kesemua mangsa kejadian.

Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau tugas menyelamat oleh agensi terlibat di muara Kuala Dungun, petang ini.


Ahmad Razif turut mengucapkan tahniah dan berterima kasih dengan komitmen serta kekuatan anggota penyelamat yang terlibat seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan  Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia dengan dibantu persatuan nelayan sejak insiden malam Rabu lalu.

Sehingga kini, tiga mangsa, iaitu Mohd Zawawi Mohamad, 24, Che Mohd Afendi Ismail, 34 dan Abd Wahab Zakaria, 44, belum ditemui dan gerakan mencari terus giat dijalankan termasuk mengesan menerusi unit udara.

Mayat seorang daripada empat mangsa yang hilang, Mohd Nazri Yaccob, 37, ditemui 8.50 pagi semalam, 300 meter dari kawasan bot dipercayai karam itu.


Dalam laporan sebelum ini, empat nelayan dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka ke Kuala Dungun terbalik dalam kejadian 10 malam 2 Ogos lalu.

Seorang lagi mangsa, Mohd Shahrin Yaccob, 33, selamat selepas berjaya berenang ke daratan.

Mereka dikatakan dalam perjalanan masuk ke Kuala Dungun selepas pulang dari menangkap ikan.

Sebelum kejadian, lima nelayan itu menaiki bot besar dan gagal memasuki Kuala Dungun berikutan keadaan sungai yang cetek.

Mereka kemudiannya melabuhkan bot besar yang dinaiki di luar kuala berkenaan sebelum menggunakan bot gentian kaca untuk memasuki Kuala Dungun.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan itu, bot mereka dikatakan dipukul ombak besar dan terbalik menyebabkan kesemuanya tercampak ke dalam laut.

Tag: