• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Ambil Berat Isu Pencemaran



KUALA TERENGGANU, 14 Mac- Kerajaan negeri memandang serius kejadian pencemaran toksik yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang sejak Khamis lalu hingga menyebabkan 506 mangsa dirawat dan 43 sekolah di kawasan sekitar ditutup.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya amat menyesali apa yang berlaku terutamanya tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya membuang sisa toksik ke dalam sungai.

“Ini adalah perkara yang amat dikesali bukan sekadar yang berlaku di Johor tetapi seluruh negara kerana aspek alam sekitar ini kesannya adalah berpanjangan dan boleh mendatangkan kecederaan dan kecelakaan kepada penduduk.

“Kita minta semua agensi terlibat di Terengganu khususnya tidak memandang mudah perkara ini dan sentiasa memantau perkembangan semasa terutama di kawasan industri untuk mengelak daripada perkara sebegini berlaku di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu pencemaran toksik di Johor pada sidang media pengumuman SPM di bilik mesyuarat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik, hari ini.

Katanya, jika dilihat di negara-negara maju, penggunaan prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai sangat ketat dalam pengendalian bahan-bahan kimia dan Terengganu turut menekankan perkara yang sama kerana negeri ini mempunyai industri berat, minyak dan gas yang besar.

“Saya sudah memaklumkan kepada agensi-agensi kerajaan negeri dan lain-lain untuk mengambil tindakan proaktif bagi menghalang perkara sebegini berlaku di negeri ini.

“ Alhamdulillah, sungai di Terengganu berada dalam keadaan baik berbanding dengan tempat-tempat lain kerana SOP bersama agensi yang terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar sentiasa dilaksanakan termasuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara berkala,” ujarnya.

Tag: