• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Ambil Tindakan 776 Pemilik Tanah Perindustrian Tidak Diusahakan

KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap 776 pemilik tanah perindustrian di seluruh Terengganu yang telah dikenal pasti tidak mengusahakan tanah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, antara tindakan yang bakal dikenakan termasuk merampas kembali tanah tersebut untuk diberikan kepada pengusaha industri yang benar-benar layak.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 776 pemilik tanah yang tidak melakukan sebarang aktiviti perindustrian di tanah milik mereka.

"Melalui Kanun Tanah Negara, kerajaan berhak mengambil balik, atau merampas (tanah), kalau tidak diusahakan dalam tempoh yang telah diberikan.

"Jadi, sekarang kita sedang meneliti untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang gagal untuk mematuhi syarat ini, supaya boleh diberi peluang kepada orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Tengku Hassan menghadiri Majlis Menandatangani MoU (Memorandum Persefahaman) Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Bersama Ta Win Holdings Berhad di Primula Beach Hotel di sini.

Majlis memeterai perjanjian itu adalah untuk memperingati usaha sama bagi pembangunan Terengganu Ecocyle dan disaksikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win Holdings Berhad, Dato’ Sri Ngu Tieng Ung dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman.

Justeru, beliau mengingatkan kepada pemilik tanah agar mengusahakan industri di tanah milik mereka atau berdepan tindakan dilucutkan hak terhadap pemilikan tanah.