• 13 Mei 2024 | 5 Zulkaedah 1445

Kerajaan Negeri Belanja RM56 Juta Untuk Bantuan Kebajikan Rakyat

Roslee melakukan gimik perasmian bagi pelancaran program Kembara Kebajikan 1Malaysia di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi , Dungun hari ini.


Kerajaan negeri memperuntukkan RM56 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diagihkan kepada kumpulan sasar khususnya golongan tidak berkemampuan sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman sentiasa memberi tumpuan bagi memastikan permasalahan rakyat terus dibantu serta diselesaikan dengan sebaik mungkin.

"Daripada jumlah ini, lebih RM13 juta diperuntukkan bagi bantuan am yang melibatkan 20,541 penerima di seluruh daerah dalam negeri ini.

"Selebihnya melibatkan bantuan bencana alam, elaun latihan bekerja, bantuan kebakaran, bencana ribut, bantuan cermin mata termasuk beberapa lagi bantuan sara diri bagi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara,"katanya.

Roslee berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Kembara Kebajikan 1Malaysia 2018 di Dewan Semerbak  Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi, Dungun, hari ini.

Seramai 589 penerima bantuan am dan 246 penerima bantuan cermin mata dari Dewan Undangan Negeri Bukit Besi menerima bantuan masing-masing pada majlis tersebut.

Turut hadir, Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar dan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Menurut Roslee, program turun padang yang dilaksanakan oleh agensi-agensi perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa supaya masyarakat akan tahu bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian dan berada dibelakang mereka terutama diwaktu kesempitan.

Sementara itu, Zuhami berkata program Kembara Kebajikan 1Malaysia diadakan bagi mendekati kumpulan sasar,  menggerakkan aktiviti kesukarelawanan dan menguar-uarkan perkhidmatan kebajikan selaku peneraju perkhidmatan kebajikan.

"Bertemakan komuniti perkasa masyarakat sejahtera, program dilaksanakan dengan memberi perkhidmatan secara terus kepada masyarakat.

"Termasuk program cari dan bantu yang turut diadakan bagi memastikan tidak ada masyarakat tercicir daripada menerima kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.


Tag: