• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Gerakkan Misi Bersih Rumah Mangsa Banjir

KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Beberapa siri banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku di Terengganu sejak 20 November 2023 hingga 23 Januari tahun ini menyaksikan daerah Dungun paling teruk terjejas terutama kawasan Hulu Dungun.

Dua kampung terletak paling hulu di Dungun itu dilanda banjir lumpur pada 25 Januari lalu menyebabkan hampir 80 peratus rumah penduduk di dua kawasan tersebut mengalami kerosakan termasuk tiga ranap sepenuhnya akibat banjir lumpur berkenaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata, pihaknya sedang dalam proses bagi menyalurkan sumbangan kepada mangsa yang terkesan akibat banjir.

"Kerajaan negeri akan ambil semua maklumat dan data-data daripada pegawai daerah.

"Seterusnya kita akan mohon daripada peruntukan bencana untuk mendirikan dan membaiki kediaman yang rosak," katanya.

Setakat ini, bantuan pembersihan rumah sedang dijalankan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan makanan untuk mereka yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurutnya, operasi pasca banjir memfokuskan kampung yang paling teruk terjejas menerusi banjir gelombang keempat membabitkan Kampung Shukor, Kampung Pasir Raja, Kampung Belimbing dan Kampung Jongok Batu.

Katanya, terdapat lebih 500 sukarelawan termasuk Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Terengganu turut serta membersihkan masjid, balai raya, sekolah serta rumah penduduk yang terjejas.

Selain itu beliau turut mengalu-alukan bantuan daripada NGO untuk memberikan kepada mangsa yang terjejas banjir.

Dalam masa sama, kerajaan negeri telah menggerakkan misi membersihkan rumah dan premis terjejas banjir menerusi Terengganu Volunteer (T-Volt) sebagaimana kelaziman setiap kali berlakunya bencana teruk.

Menurut Hanafiah, pergerakan T-Volt akan memfokuskan kawasan yang teruk terjejas dalam beberapa siri melibatkan penyertaan kakitangan kerajaan dan juga sukarelawan.

Sementara itu, penduduk pedalaman daerah Setiu, Besut dan Dungun diingatkan berwaspada kerana terdedah banjir berikutan limpahan sungai susulan hujan lebat di kawasan hulu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata trend banjir ketika ini membabitkan kawasan hulu dan pedalaman akibat hujan berterusan di kawasan berkenaan.

Tinjauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mendapati paras air Sungai Terengganu di Hulu Terengganu berada pada tahap bahaya.


Tag: