Berita :
Kerajaan Negeri Jelas Rasional Had Operasi Karaoke Kepada Pengusaha, Terbuka Terima Pandangan Industri
Kerajaan Negeri Jelas Rasional Had Operasi Karaoke Kepada Pengusaha, Terbuka Terima Pandangan Industri
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
56

KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu menjelaskan bahawa ketetapan mengehadkan waktu operasi pusat karaoke sehingga jam 10 malam dibuat selepas mengambil kira beberapa pertimbangan, khususnya berkaitan masyarakat di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara pertimbangan yang telah diambil dikira bagi ketetapan tersebut termasuklah aspek kesejahteraan masyarakat, kawal selia premis hiburan dan kepentingan awam.

Menurut beliau, perkara itu dijelaskan kepada para pengusaha pusat karaoke dalam satu pertemuan yang diadakan bagi mendengar pandangan serta maklum balas mereka berhubung ketetapan itu.

"Mengadakan pertemuan bersama para pengusaha pusat karaoke di negeri Terengganu bagi mendengar pandangan serta maklum balas mereka berhubung ketetapan waktu operasi yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu sehingga jam 10 malam.

"Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu, saya turut menjelaskan beberapa justifikasi yang menjadi asas kepada ketetapan yang telah dibuat sebelum ini termasuk pertimbangan terhadap aspek kesejahteraan masyarakat, kawal selia premis hiburan serta kepentingan awam," katanya.

Wan Sukairi berkata demikian menerusi sebuah hantaran Facebook rasminya selepas mengadakan sesi berdialog bersama pihak pengusaha industri berkaitan, semalam.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka untuk mendengar pandangan daripada semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap keputusan yang diambil mengambil kira pelbagai sudut pandang.

"Saya percaya ruang perbincangan seperti ini amat penting bagi memastikan setiap keputusan yang diambil mengambil kira pelbagai sudut pandang, di samping mencari jalan penyelesaian yang seimbang antara kepentingan ekonomi, sosial dan kesejahteraan masyarakat," jelasnya.

Pada akhir Februari yang lalu, media telah melaporkan bahawa kerajaan negeri menetapkan semua pusat karaoke di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu hanya dibenarkan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Ketetapan itu berkuat kuasa serta-merta bagi menyeragamkan waktu operasi pusat hiburan keluarga di seluruh negeri yang sebelum ini didapati berbeza antara satu kawasan dengan kawasan lain.

Kegagalan mematuhi ketetapan baharu ini akan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, tertakluk kepada undang-undang di bawah Seksyen 11 (2), Enakmen Hiburan di Tempat Hiburan 2002.


Ketupat

Artikel Berkaitan