• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Kaji 50 Syarikat Sakit - MB Terengganu


KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Kerajaan negeri ingin menyelamatkan beratus ribu ringgit wang rakyat dari menanggung syarikat tidak berfungsi dengan cara menutup atau menggabungkannya dengan syarikat lain.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, lebih daripada 50 anak syarikat milik Kerajaan Terengganu yang telah menghentikan operasi perniagaan dan tidak aktif akan menjejaskan perbelanjaan kerajaan. 

Beliau berkata, penggulungan itu dijangka menjimatkan beratus-ratus ribu ringgit setiap tahun yang sebelum ini digunakan untuk tadbir urus syarikat walaupun tidak menyumbang kepada ekonomi negara. 

"Jika kita tidak menutup syarikat-syarikat ini, kita perlu menanggung kos pentadbiran berjumlah ratusan ribu ringgit setiap tahun kerana mereka perlu membayar kepada setiausaha syarikat untuk melakukan pengauditan serta individu yang mentadbir syarikat tersebut. 

"Apabila syarikat itu ditutup, kerajaan negeri kemudiannya boleh memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat yang berfungsi dengan baik manakala beratus-ratus ribu ringgit boleh disalurkan kepada perkara-perkara penting," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Ummah, di sini semalam. 

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, berkata, kebanyakan syarikat adalah anak syarikat milik Terengganu Incorporation Sdn Bhd dan menjalankan perniagaan hampir sama antara satu sama lain yang mengakibatkan persaingan yang tidak sihat. 

Malah, katanya, beberapa syarikat terlibat dalam perniagaan bukan teras seperti menghasilkan barangan untuk kerajaan negeri. 

"Langkah seterusnya ialah kami akan menggabungkan beberapa syarikat di bawah segmen perniagaan yang kami miliki, seperti hotel, perladangan, minyak dan gas serta pembinaan. 

"Apabila kita menggabungkan syarikat-syarikat milik negeri, semua aset boleh dikongsi dan syarikat akan lebih besar dan lebih kuat, lebih mudah bersaing dengan syarikat lain di luar sana," katanya.


Tag: