• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Keluar Garis Panduan Pelaksanaan Program Kesenian Dan Kebudayaan

Ariffin Deraman ketika ditemui pemberita dalam sidang media sebagai mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah mengeluarkan satu garis panduan bagi pelaksanaan program kesenian dan kebudayaan yang diadakan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, penganjuran sebarang acara persembahan pentas di Terengganu selepas ini tidak dibenarkan mengandungi unsur percampuran antara lelaki dan wanita.

Menurut beliau, acara persembahan pentas hanya melibatkan penyanyi dan penari lelaki manakala persembahan penyanyi dan penari wanita hanya boleh dilakukan kepada wanita sahaja di tempat tertutup.

Katanya, tidak boleh berlaku percampuran terlampau di antara lelaki dan wanita di atas pentas ketika persembahan.

"Persembahan kanak-kanak sahaja dibenarkan bercampur di antara lelaki dan perempuan di atas pentas.

"Lagu-lagu yang dipersembahkan tidak mengandungi lirik melampau dan melalaikan bahkan, muzik atau hiburan yang dipersembahkan tidak boleh diiringi atau dialunkan dengan instrumen bunyian yang melampau sehingga boleh mempengaruhi penonton atau pendengar mengikut rentak," ujarnya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media sebagai mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selepas mesyuarat mingguan exco, di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu (3 Oktober).

Tambah beliau, persembahan muzik hanya dibenarkan selepas waktu Isyak dan tidak melepasi pukul 12 tengah malam manakala persembahan waktu siang perlulah tidak melampaui batas waktu solat

Di samping itu, persembahan pentas tidak dibenarkan diadakan pada hari Khamis malam Jumaat sehingga selepas solat Jumaat hari berikutnya.

"Menjaga adab dan tingkah laku dan berpakaian menutup aurat/kemas ketika persembahan dijalankan.

"Penganjur mestilah memastikan penonton lelaki dan wanita bukan mahram tidak boleh bercampur antara satu sama lain," katanya.



Tag: