Kerajaan Negeri Komited Bangunkan Sukan Badminton
Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Kerajaan negeri komited membangunkan sukan badminton dalam usaha melahirkan atlet berkaliber yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya akan terus memberikan perhatian kepada pembangunan sukan di pelbagai peringkat bagi melahirkan lebih ramai atlet berkaliber.
“Sukan badminton wajar untuk bangkit sekali gus dapat membekalkan anak negeri yang berpotensi dalam mewakili negara suatu hari nanti,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Barang Tajaan Persatuan Badminton Terengganu di Hotel Permai, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Presiden Persatuan Badminton Terengganu, Azmi Mamat serta Pengasas REKEK, Syed Kamal Rizuan Syed Omar.
Majlis tersebut juga menyaksikan penyerahan set lengkap keperluan atlet oleh Syarikat Protech Sports Malaysia Sdn Bhd.
Katanya, dengan sokongan daripada syarikat-syarikat yang prihatin seperti Protech Sports dan REKEK diharapkan Terengganu akan dapat melahirkan lebih ramai atlet badminton yang berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.