BESUT, 5 September – Kerajaan Terengganu serius memastikan pemandu bot, teksi air dan teksi bot di Pulau Perhentian bebas daripada dadah dengan kerjasama pihak polis.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, hasil pemantauan polis menunjukkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu bot semakin berkurangan.
“Saya difahamkan, polis sentiasa melakukan pemantauan berhubung perkara ini, namun masih ada yang berbuat demikian.
"Namun, alhamdulillah, angkanya makin berkurang dan kita berharap supaya ia terus kekal,” katanya kepada pemberita selepas Program 'Dive Against Debris (DAD): CSR Pembersihan Pantai di Pulau Perhentian kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh; ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin; Pengarah Pelancongan, Hilman Hajijan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohamad Ridwan Mohd Nor.
Razali berkata, perkara itu dipandang serius kerana melibatkan keselamatan pelancong. Beliau berharap semua pemandu bot dapat memberi kerjasama supaya aspek keselamatan menjadi keutamaan.
Sebelum ini, polis mengesahkan pemandu bot yang terlibat dalam tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian pada Jun lalu mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Katanya, Insiden itu mengorbankan tiga nyawa termasuk dua kanak-kanak.
