lightning-solid
Berita :
Kerajaan Negeri Komited Pulihara Nostalgia Mercu Air Terjun Terengganu
Kerajaan Negeri Komited Pulihara Nostalgia Mercu Air Terjun Terengganu
Ahmad Zaeem Zainudin
12 Nov 25
652

KUALA TERENGGANU, 12 November - Kerajaan Negeri Terengganu telah menyatakan komitmen untuk memulihara kawasan rekreasi Hutan Lipur Sekayu yang dahulu terkenal sebagai mercu air terjun di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata satu peruntukan khas dikenali sebagai Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) akan diperuntukkan bagi tujuan tersebut.

EFT merupakan satu insentif kewangan khas yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri untuk membiayai usaha konservasi dan pemuliharaan alam sekitar. 

"Dan akan datang ini kita ada peruntukan EFT. Apabila kita kaji-kaji, kita tak boleh tinggal Sekayu ni. Sebab Sekayu ni adalah satu tempat yang lama. Yang tua. Sekayu Waterfall.

"Jadi kalau kita tinggal Sekayu ini, kita pergi tempat lain, maka saya rasa di sebelah Hulu Terengganu akan kehilangan satu mercu tanda air terjun.

"Jadi kita berbincang panjang dengan Perhutanan dan kita dapatlah mula-mula insya-Allah melalui peruntukan EFT tahun depan ni, kita akan cuba betulkan balik Sekayu tu supaya menjadi tempat tumpuan kepada pelancong sama ada domestik ataupun luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dari Ahli Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail ketika sesi soalan lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razali turut mnyuarakan kebimbangan terhdapa fenomena kepala air yang sering melanda di kawasan rekreasi tersebut yang sering berlaku khususnya pada musim tengkujuh.

"Sekayu ni, Tuan Yang di-Pertua, memanglah kita beberapa kali berlaku malapetaka di Sekayu. Kita panggil kepala air. Saya pun risau juga. Sebab kepala air ini mari kita tidak rancang.

"Dan baru-baru ni kita pindah kepada taman sebelah (Taman Tema Air Sekayu) yang Yang Berhormat Jabi (Dato' Dr. Azman Ibrahim) selesai dah sebahagian," ujarnya.

Terdahulu, kerajaan negeri melalui Taman Pertanian Negeri Sekayu telah membelanjakan sebanyak RM2 juta untuk baik pulih Taman Tema Air Sekayu yang telah kembali beroperasi pada 24 Julai tahun ini.



Artikel Berkaitan