• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Komited Tunai Janji Manifesto

DUNGUN, 18 Disember -Kerajaan negeri dibawah pimpinan PAS komited menunaikan janji manifesto ketika Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, sehingga kini antara manifesto yang telah dilaksanakan termasuk pemberian lesen motosikal percuma, mengembalikan tanah terkilan, kad sejahtera, serta pusat jagaan kanak- kanak di jabatan kerajaan.

"Manakala manifesto yang sedang dalam proses untuk dilaksanakan antaranya ialah menyediakan pinjaman perumahan berjumlah RM50 juta yang telah diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu ketika pembentangan Bajet 2021 dan juga Pusat Pemulihan Dadah Secara Holistik yang akan beroperasi pada Januari depan.

"Dalam pada itu, kerajaan Terengganu juga sedang merancang untuk membina Pusat Pengajian Tinggi milik kerajaan negeri dan Bandar Baharu Lestari," ujarnya.

Alias berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Cermin Mata kepada 170 penerima di Dewan Darul Ansor di Kampung Alor Mal Bah di sini.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah berhenti daripada bekerja keras selepas diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah Terengganu dan sedaya mungkin menunaikan janji.

Justeru katanya, diharapkan setiap manifesto yang dilaksanakan untuk kebaikan rakyat digunakan sebaik.

"Misalnya, kad sejahtera yang diberikan kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta, gunakanlah sebaik mungkin," ujar Alias.


Tag: