• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Lancar Pelan Strategik Perkhidmatan Psikologi

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober- Kerajaan negeri mewujudkan Pelan Strategik Perkhidmatan Psikologi Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu bagi Tahun 2023 sehingga 2027 sebagai insiatif baharu bagi merealisasikan kesejahteraan psikologi dan pembangunan modal insan terhadap penjawat awam negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pelan strategik tersebut diharap dapat membantu organisasi perkhidmatan awam untuk memperkasa peranan psikologi dalam pembangunan sumber manusia sejajar dengan matlamat dan aspirasi perkhidmatan awam dan negara sepertimana yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Selain itu katanya, Pejabat SUK Terengganu melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia turut menawarkan perkhidmatan psikologi secara profesional di SUK Terengganu bagi memastikan tahap kesejahteraan dan psikologi warga kerja terjamin. 

“Perkara ini dibuktikan dengan pengisian jawatan Pegawai Psikologi secara tetap bermula November 2021 yang lalu.

“Malah, perluasan perkhidmatan psikologi diteruskan lagi dengan pewujudan sistem sokongan serta pencegahan kepada permasalahan psikologi bagi membantu penjawat awam melalui Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Terbuka Psikologi Peringkat Negeri Terengganu 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sempena perasmian tersebut turut diadakan Majlis Pentauliahan AKRAB kepada 30 ahli yang telah memenuhi semua kriteria digariskan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Menurut beliau, sumbangan dan aktiviti yang dilakukan oleh AKRAB sejak penubuhannya pada tahun 2015 di SUK Terengganu banyak membantu memperkasa perkhidmatan psikologi kepada perkhidmatan awam dan komuniti. 

Sementara itu, bercakap mengenai Sambutan Hari Terbuka Psikologi pada tahun ini yang mengangkat Comeback sebagai tema katanya, ianya sejajar dengan situasi semasa di mana kita sekarang perlu kembali menjalani kehidupan sepertimana kehidupan sebelum dunia dikejutkan dengan serangan COVID-19. 

“Tema ini dipilih bagi menyampaikan input berkaitan psikologi ketahanan diri apabila berhadapan dengan isu-isu kontemporari seperti endemik COVID-19 dan penyesuaian kehidupan dengan norma baharu,” ujarnya.