• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Lancar Skim Baru Ganti T-GAS Bantu Graduan Menganggur


Kerajaan negeri akan melancarkan satu skim baru menggantikan Skim Penempatan Siswazah Terengganu (T-GAS) bagi membantu graduan menganggur menimba pengalaman dan mencari peluang kerja sesuai.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, skim baru ini akan memberi keutamaan kepada bidang pelancongan dan pertanian, sementara elaun pula dibiayai kerajaan negeri dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri (GLC).

 “Bagi siswazah yang memilih pelancongan, mereka akan ditempatkan bawah Terengganu Tourism Malaysia selama enam bulan sebagai pemandu pelancong, operator dan sebagainya yang akan dibayar elaun dalam tempoh itu.

 “Selepas itu, kerajaan negeri akan bantu siswazah ini melalui program bersepadu dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi melatih mereka menjadi usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Minggu PKS 2017 Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad dan Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Ir. (Dr.) Mohamed Al Amin Abdul Majid.

Menurut Ahmad Razif, skim yang bertujuan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah termasuk dengan membekalkan pengalaman dan kemahiran untuk mereka berdikari ini akan disegerakan pengambilan pesertanya memandangkan Terengganu masih kekurangan khidmat pemandu pelancong.

“Kita akan lancarkan satu skim baru untuk graduan yang menganggur mengantikan T-GAS dan bulan depan akan mula iklankan skim ini.

“Mana-mana siswazah yang belum bekerja dan yang sedang mencari pekerjaan boleh memohon memandangkan Terengganu sekarang ini amat memerlukan kihdmat pemandu pelancong,” ujarnya.

Tag: