• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Pandang Serius Kes Buli Di Kolej Vokasional Wakaf Tembesu


Kerajaan negeri memandang serius kes membabitkan tiga pelajar yang didakwa menjadi mangsa buli kira-kira 26 pelajar dalam dua kejadian berlainan yang berlaku di Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus.

Dalam kejadian yang berlaku 7 Ogos lalu, Muhammad Luqman Hakim Mohd Syukri,17, yang kini masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) telah menjadi mangsa buli kepada 15 pelajar dipercayai akibat salah faham.

Manakala, seorang daripada pelajar semester satu Jurusan Teknologi Elektronik, Ahmad Zikrill A’zim Hasbullah,16, ( masih menerima rawatan di HSNZ) yang juga atlet boling Terengganu lebam pada badan dan dua kali pengsan, manakala rakannya, Wan Ahmad Faris Zakaria, 16, cedera di kaki dan calar di badan setelah menjadi mangsa buli 11 pelajar dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan  Transformasi Kerajaan Negeri, A.Latiff  Awang berkata, beliau amat kesal dengan apa yang berlaku dan menyerahkan kes berkenaan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut selepas kes berkenaan dilaporkan kepada polis oleh bapa mangsa.

“Saya rasa amat kesal perkara ini masih berlaku di kalangan pelajar sekolah dan juga institusi pendidikan di negeri ini.

“Walaupun bilangannya agak terpencil berbanding dengan lain-lain kes masalah displin pelajar  tetapi kita tidak mahu perkara ini terus berlaku, justeru kita mengharapkan pihak berwajib ambil tindakan yang sewajarnya kepada yang terlibat dan perlu siasatan yang terperinci supaya tidak ada yang teraniaya dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa buli tersebut di HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

A.Latiff berkata, pihaknya turut mengharapkan Jabatan Pendidikan Negeri khususnya dan mana-mana institusi pendidikan samada sekolah mahupun kolej-kolej mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kegiatan buli seperti ini tidak terus berulang.

Katanya, bermula awal tahun sehingga kini, sebanyak 16 kes buli di kalangan pelajar dicatatkan berlaku di negeri ini.

Tag: