• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Pantau Pengusaha Pelancongan Langgar Peraturan

MARANG, 2 September - Kerajaan Terengganu bersikap terbuka dan teliti dalam melakukan pemantauan berkenaan isu keselamatan pengunjung di pusat-pusat peranginan negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) sedia maklum dengan rungutan pengunjung terhadap isu keselamatan dan keselesaan di Pulau Kapas yang berlaku baru-baru ini.

"Ini sebenarnya mengejutkan kita kerana sudah ada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kita lancarkan apabila membuka semula pulau-pulau peranginan pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Ariffin bersama Dr. Mamad ketika meninjau keadaan di Stesen Solar Pulau Kapas.

"Malangnya, ada sebahagian pengusaha mahu untung lebih dan ia menyebabkan pelbagai masalah. Kita menerima maklumat terbaru bahawa SOP yang diperketatkan menyebabkan segelintir pengusaha bot membawa penumpang di jeti kawasan lain. Perkara ini juga dalam pemantauan kita.

"Kita telah mengarahkan Tourism Terengganu untuk mengadakan siasatan serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit. Kita tiada tindakan khusus tetapi yang penting, pendidikan terhadap pengusaha akan diteruskan. Jika perlu, kita akan bincangkan hukuman kepada mereka," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tinjauan ke Stesen Solar Hybrid di Pulau Kapas bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Haji Mamad Puteh di sini, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim; Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan beberapa wakil dari Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Tambahnya, pemantauan akan diteruskan dan tindakan akan dibincangkan supaya pihak yang melanggar peraturan keselamatan dan SOP dapat ditangani.

"Untuk makluman, setelah negara berada dalam norma baharu iaitu fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kelonggaran ini menyebabkan kenaikan pelancong tempatan ke Terengganu dan antara yang paling terkesan ialah Pulau Kapas kerana lokasinya yang dekat dengan tanah besar.

"Kita sedia maklum, ada pelbagai perkara yang dalam proses dan telah diselesaikan pihak berkuasa tempatan, antaranya isu sampah yang akan disesuaikan semula dan tandas yang akan dibina baharu dengan peruntukan yang dah diluluskan.

"Nasihat saya kepada pengusaha, pelancongan adalah sektor jangka masa panjang di mana kes-kes sebegini mampu menjejaskan imej industri ini," katanya.