KUALA TERENGGANU, 5 September – Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk terus mendengar serta memenuhi suara mahasiswa melalui pelbagai saluran, termasuk dengan memperkenalkan peranan abang angkat sebagai orang tengah dalam menyampaikan pandangan dan keperluan pelajar.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat, berkata pendekatan itu diyakini dapat mengukuhkan hubungan antara Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) dengan kerajaan negeri, sekali gus menjamin kelangsungan program serta aktiviti yang dirancang agar lebih tersusun dan berkesan.
“Langkah ini juga dapat mengelakkan isu yang timbul sebelum ini seperti polemik ‘ayah angkat’, yang kadangkala menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peserta kerana faktor usia dan kesibukan.
“Dengan adanya agensi khusus (abang angkat), segala usaha melibatkan anak muda dapat digerakkan secara lebih sistematik, disokong sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Hi-Tea Aspirasi Pendidikan: Bicara Ilmiah Bersama Mahasiswa Terengganu di Hotel Grand Puteri, kelmarin.

Sementara itu, Yang Dipertua Permata Kebangsaan, Nor Bismillah Asy Syakur Nor Yami, 23, berkata usaha ini sebagai platform penting untuk anak muda bersuara, berbakti serta memberi sumbangan kepada masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan padu daripada kerajaan negeri amat diperlukan bagi memastikan isu-isu yang sering berbangkit sebelum ini, termasuk berkaitan peranan pihak luar, dapat ditangani dengan lebih berkesan.