HULU TERENGGANU, 29 Julai – Kerajaan Negeri terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, khususnya dalam usaha memulihara spesies hidupan liar terancam seperti Tuntung Sungai (Batagur affinis edwardmolli) yang semakin diancam kepupusan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Program Kesedaran Awam Bersama Masyarakat Setempat yang berlangsung di Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung), Bukit Paloh, merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama memelihara alam sekitar.
“Tuntung Sungai adalah spesies endemik yang kini semakin terancam akibat aktiviti manusia.
"Justeru, pemuliharaan dan pendidikan kepada masyarakat amat penting bagi memastikan spesies ini tidak pupus,” ujarnya ketika merasmikan program berkenaan semalam.

Sebagai simbolik kepada usaha pemuliharaan tersebut, program dimulakan dengan pelepasan sebanyak 50 ekor anak tuntung ke Sungai Kampung Temir, sebagai langkah memperkukuh kesinambungan hidup spesies berkenaan di habitat semula jadi mereka.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, Pengarah Jabatan PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadli Ngah serta pegawai-pegawai jabatan dan agensi berkaitan.
Datuk Razali berkata, Pusat Konservasi Tuntung Bukit Paloh yang diwartakan sejak 2 Julai 1997 bukan sahaja menjadi lokasi pembiakan terkawal, malah berfungsi sebagai platform pendidikan dan kesedaran kepada komuniti setempat mengenai kepentingan pemuliharaan biodiversiti.
Tambahnya lagi, sebanyak empat lokasi pasir pendaratan tuntung sungai di Terengganu telah diwartakan iaitu Pasir Temir (1977), Pasir Lubok Kawah (1978), Pasir Tok Chu dan Pasir Kumpal (2004) bagi memastikan habitat pembiakan terus terpelihara.
“Usaha seperti ini tidak boleh digerakkan oleh kerajaan semata-mata. Ia memerlukan kerjasama erat daripada komuniti sebagai rakan strategik. Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati bersalah atas kesalahan berkaitan hidupan liar boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi 15 tahun.
Dalam pada itu, Razali berharap program seumpama itu bukan sahaja dijadikan acara tahunan, sebaliknya berkembang menjadi gerakan berterusan yang mampu membentuk kesedaran kolektif rakyat terhadap kepentingan memelihara alam sekitar.
“Kita perlukan pendekatan yang menyeluruh – bukan sekadar penguatkuasaan, tetapi melalui pendidikan dan kesedaran. Bila semua pihak berganding bahu, Insya-Allah hasilnya besar untuk negeri dan negara,” katanya.