• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Peruntuk RM3,719,100 Bantu Persediaan 4,209 Pelajar Ke IPT

Ahmad Razif menyampaikan bantuan persediaan kepada pelajar lepasan SPM Parlimen Kuala Nerus di Duyong Marina & Resort, hari ini. Foto Oleh: Tg Syamim Tg Ismail

Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memperuntukkan RM3,719,100 untuk diagihkan kepada 4,209 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai bantuan persediaan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, penyampaian bantuan persediaan dan bantuan pembelian komputer untuk pelajar yang berjaya menyambung pengajian di matrikulasi dan diploma bagi peringkat pertama itu diadakan bermula hari ini sehingga 1 Jun ini yang melibatkan pembahagian di semua 32 Dewan Undangan Negeri.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 2,050 pelajar yang akan melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi di Semenanjung manakala 17 pelajar yang akan ke Sabah dan Sarawak.

"Bagi peringkat diploma pula, 2,132 pelajar yang akan menyambung pengajian di Semenanjung manakala sepuluh pelajar yang menyambung pengajian peringkat sama di Sabah dan Sarawak," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pembahagian Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu serta Bantuan Pembelian Komputer Sesi Pengajian 2017/2018 (Parlimen Kuala Nerus) di Duyong Marina & Resort, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil serta Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim.
Ahmad Razif berkata, setiap pelajar yang mengikuti program matrikulasi di Semenanjung akan menerima RM500 seorang, manakala pelajar di Sabah dan Sarawak pula akan menerima RM800 seorang.
“Pelajar yang mengikuti pengajian peringkat diploma di Semenanjung pula menerima sebanyak RM750 manakala sebanyak RM1,050 pula diberikan kepada pelajar di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Katanya, bantuan pembelian komputer sebanyak RM500 juga diserahkan dalam bentuk wang tunai kepada pelajar peringkat diploma.
Menurut Ahmad Razif, setiap tahun kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM20 juta untuk bantuan persediaan bagi mereka yang mengikuti pengajian di peringkat matrikulasi, sijil, diploma dan ijazah serta untuk pembelian komputer dimana pembahagiannya dilakukan secara berperingkat. 

Tag: