• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Kerajaan Negeri Sedia Biasiswa RM6.4 Juta

KEMAMAN, 7 Jun – Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan biasiswa sebanyak RM6.4 juta bagi membantu 500 bakal penuntut yang melanjutkan pengajian Kolej Universiti TATI (UC TATI) milik kerajaan Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata pelancaran biasiswa itu dilaksanakan bersempena dengan Ulang tahun UC TATI ke-30.

Katanya, penerima biasiswa itu dipilih melalui syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak UC TATI dan melalui tapisan tertentu.

“Biasiswa penuh untuk pelajar asasi bernilai RM9,000 setahun merangkumi yuran pengajian, yuran asrama dan elaun sara hidup.

“Elaun sara hidup bagi setiap program RM1,600 setahun sepanjang pengajian bagi setiap program serta penginapan asrama sehingga tamat pengajian,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Merasmikan Majlis Penutup Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2023 (MPI’23) bertempat di Dewan Canselori UC TATI, Kemaman di sini baru-baru ini. 

Turut hadir Rektor Universiti College TATI (UC TATI), Prof Dr Anuar Ahmad.

Mengulas lanjut mengenai program, Hanafiah berkata program MPI’23 itu melalui anjuran bersama tiga Institusi Pengajian Tinggi di Terengganu iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan UC TATI.

“Bilangan peserta melebihi 60 orang yang melibatkan 306 buah projek penyelidikan yang terdiri daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Kolej Vokasional, Sekolah Menengah serta Sekolah Rendah.

“Sebanyak 61 pingat disediakan kepada pemenang termasuk emas, perak dan gangsa.

“Pemenang utama anugerah tersebut adalah inovasi mesin menyiang ikan yang dapat membelah, membuang perut ikan dan memotong kepala ikan secara semi-automatic,” katanya.

Beliau berkata, inovasi tersebut tercipta melalui kerjasama di antara lima orang penyelidik dari tiga buah IPT berbeza yang diketuai oleh Profesor Madya Ts Dr Norizah Mhd Sarbon daripada UMT dan lima orang lagi pembantunya.

“Objektifnya adalah untuk memudahkan pengeluaran isi ikan bagi pengusaha keropok di negeri ini serta mengurangkan tenaga pekerja untuk proses menyiang ikan.

“Inovasi berkenaan dibangunkan dengan dana berjumlah RM140,000 daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah geran penyelidikan Public-Private Research Network (PPRN) 2.0.

“Projek ini melibatkan kolaborasi bersama pengusaha keropok tempatan iaitu KMT Food Manufacturing Sdn. Bhd yang sekarang telah menggunakan mesin ini untuk digunakan bagi melancarkan pengeluaran mereka yang dianggarkan sebanyak 15 tan sehari,” ujarnya.

 


Tag: