• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Sokong Pembangunan Belia Melalui E-Sports

Hishamuddin mencuba permainan Pro Evolution Soccer 2019 di ruang pameran.
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Sukan elektronik atau lebih dikenali ebagai E-Sports yang semakin berkembang menyediakan peluang meluas buat belia samada melalui kerjaya atau perniagaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan bidang yang boleh memberikan manfaat kepada belia.

“Anak-anak muda tidak boleh disekat untuk bermain permainan elektronik kerana ia berkembang seiring dengan perkembangan teknologi lain.

“Sebagai kerajaan negeri, kami bersedia membantu belia bagi memastikan ruang ini dapat dimanfaatkan. Sebagaimana dimaklumkan, e-sports membuka ruang anak-anak muda untuk berkerjaya dan berniaga. Kami akan beri galakan sekiranya ia membantu perkembangan belia.

“Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO akan meneliti aspek yang boleh dipertimbangkan supaya e-sports mendapat perhatian dan dapat diketengahkan oleh kerajaan.

“Cuma, kita tidak perlu gopoh dalam mengetengahkan perkara ini. Penilaian perlu dilakukan dan hala tuju belia dalam bidang ini perlu diarahkan kepada hasil yang positif,” katanya ketika merasmikan penutup Bengkel Pengenalan E-Sports Negeri Terengganu di TD1303, semalam.

Hishamuddin turut ingatkan pengusaha e-sports supaya mendidik belia secara positif dalam bidang itu.
Bengkel anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri dengan kerjasama Persatuan Sukan Elektronik Malaysia Terengganu (ESM) itu dihadiri oleh 100 peserta terdiri daripada jabatan kerajaan, pemain sukan elektronik professional dan individu persendirian.

Dalam pada itu, Presiden ESM, Abdul Latif Ibrahim turut bersetuju dengan saranan Hishamuddin.

“Sebagaimana saranan kerajaan negeri, pihak persatuan akan cuba mengawal dan mendidik hala tuju anak-anak muda dalam bidang ini.
   
“Saya berharap kerjasama daripada pelbagai pihak akan membantu e-sports dengan lebih baik di negeri ini,” katanya.

Sukan e-sports mula mendapat tempat di medium sukan antarabangsa selepas ia diperkenalkan dalam Sukan Asia Ke-18 di Jakarta sebelum mula dipertandingkan di Sukan Asia ke-19 di Huangzhou pada tahun 2022. 

Antara permainan yang sering dipertandingkan di peringkat antarabangsa ialah FIFA, Mobile Legend dan Player Unknown’s Battleground (PUBG).



Tag: