• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Terima Royalti Air RM4 Juta Setahun

Dr Mamad Puteh.
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober - Kerajaan Terengganu menerima hasil royalti penggunaan air dan lesen takungan air oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stesen Jana elektrik Hulu Terengganu (SJHT) di Tasik Tembat dan Tasik Puah di Hulu Terengganu sebanyak RM4 juta setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, sepanjang 2016 sehingga kini,  pendapatan yang direkodkan terus bertambah berdasarkan kemajuan pembangunan infra di SJHT.

Jelasnya, empangan Tembat dan Puah  menyediakan 265 megawatt (MW) elektrik tambahan kepada kapasiti penjanaan Stesen Tenaga Hidroelektrik Kenyir dan meningkatkan kapasiti stesen kepada kepada 665 MW.

"Selain membekalkan tenaga elektrik sejak Disember 2015, projek ini telah pun terlebih awal membantu kerajaan negeri dan rakyat Terengganu ketika banjir mahupun kemarau.

"Pada musim banjir pula, malah ketika banjir besar pada tahun 2014, empangan Hulu Terengganu dapat menakung jumlah air yang sangat banyak akibat hujan lebat berpanjangan, sekaligus meredakan keadaan daripada kemungkinan banjir yang lebih buruk.

"Dianggarkan, dengan terbinanya projek ini kerugian harta benda penduduk dan kerugian infrastruktur Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akibat banjir yang boleh dielakkan di Kuala Berang berjumlah kira-kira RM6.4 juta (tidak termasuk 'economic loss')," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Antara Kerajaan Terengganu & Tenaga Nasional Berhad Bagi Skim Hidroelektrik Hulu Terengganu Dan Pembangunan Ibu Pejabat TNB Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dr Samsuri menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Skim Hidroelektrik Hulu Terengganu & Pembangunan Pejabat TNB Terengganu.
Perjanjian itu dimeterai antara Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya bagi pihak kerajaan manakala TNB diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato' Seri Ir. Azman Mohd, dengan disaksikan oleh Menteri Besar, Dr, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tambah Dr.Mamad lagi, pada musim kemarau, dari semasa ke semasa TNB telah membantu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) untuk melepaskan lebih banyak air bagi mengimbangi air masin dari laut yang masuk ke Sungai Terengganu , bagi tujuan rawatan bekalan air.

Ir Azman Mohd.
Sementara itu, Ir Azman berkata, projek SJHT dengan dua tasik berkeluasan 7,197 hektar atau bersamaan satu per enam Tasik Kenyir telah memberi manfaat secara langsung kepada kerajaan negeri dan juga rakyat Terengganu.
Tambah Ir Azman, di loji-loji hidro TNB yang lain, penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Tasik dan Kawasan Tadahan telah membuktikan kejayaan dalam mengurus dan memulihara kawasan tadahan.

"Ini jelas amat berkesan dalam menguruskan kawasan tadahan Pergau. Oleh itu, TNB ingin mencadangkan agar pendekatan seumpama itu dilaksanakan di Hulu Terengganu ini sebagai satu pendekatan strategik demi masa depan.

"Pengalaman getir dirasai di Cameron Highland yang turut dilanda banjir besar pada tahun 2014, apabila banyak pihak menanggung pelbagai kerugian yang bukan sedikit, berikutan terjejasnya kawasan tadahan Lembah Bertam," katanya.

Menurut beliau, loji hidro tidak boleh beroperasi 24 jam sehari kerana bergantung kepada jumlah air yang ada untuk tujuan penjanaan.

"Sekiranya ia beroperasi berterusan 24 jam sehari, kandungan empangan akan merosot dan tidak dapat memenuhi fungsi kritikal yang lain seperti membekalkan air mentah dan pengairan," ujar Ir Azman.

Sementara itu, Ir. Azman juga merakamkan ucapan  terima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Terengganu, di atas segala sokongan dan kerjasama yang diberikan  terhadap pembangunan ibu pejabat TNB Negeri Terengganu, yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Katanya, konsep reka bentuk bangunan serba lengkap itu mengambil kira kedudukan tapaknya di pusat bandar dan berdekatan pula dengan Menara Darul Iman.

Ia bakal menjadi mercu tanda baharu Kuala Terengganu City Centre dengan mengenengahkan ciri-ciri kemampanan alam sekitar dan mesra pengguna.


Tag: