• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Dakwaan Rakyat Diarah Bayar Cukai Pintu Tidak Benar

KUALA TERENGGANU, 24 Januari – Dakwaan rakyat diarah membayar cukai pintu rumah kediaman oleh pihak tertentu adalah tidak benar. 

Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Shahidan Embok sebaliknya menegaskan, cukai pintu bagi rumah yang diduduki rakyat di Terengganu akan terus ditanggung kerajaan negeri sebagaimana termaktub dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Katanya, bayaran cukai pintu kediaman individu adalah dikecualikan ke atas pemilik dan ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Penyediaan notis pindaan nilaian merupakan prosedur kerja biasa yang perlu dipatuhi bagi tujuan memaklumkan premis tersebut dikenakan cukai pintu, tetapi ia dibayar kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan tidak bertanggungjawab sebuah portal berita bertajuk ‘292 Penghuni Rumah Pangsa Pulau Duyong Diarah Bayar Cukai Pintu’ hari ini.

Shahidan.

Menurut Shahidan lagi, pengenaan cukai pintu bagi Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Pulau Duyong berkuatkuasa pada 1 Januari 2021 sebagaimana notis pindaan senarai nilaian bertarikh 7 September 2020.

“Walau bagaimanapun, tuntutan bayaran akan dibuat kepada kerajaan negeri sebagaimana nilaian cukai yang telah dibuat.

“Proses kerja bagi maksud cukai pintu berjalan seperti biasa mengikut prosedur, cuma pemilik tak perlu bayar tapi kerajaan negeri yang bayar kepada MBKT.

“Untuk makluman juga, pihak majlis telah panggil individu yang membuat bantahan dan telah dijelaskan sebelum ini,” tambah beliau.

Untuk rekod, dalam pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memperuntukkan RM13 juta bagi tujuan pengecualian cukai pintu.

"Memahami kesempitan rakyat ketika pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri akan meneruskan pengecualian bayaran Cukai Taksiran untuk rumah kediaman yang menelan belanja melebihi RM13 juta pada tahun ini,” katanya.


Tag: