• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Umum Bantuan Kewangan Buat Usahawan Kecil, Sederhana

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Kerajaan negeri bakal melancarkan bantuan kewangan patuh syariah kepada usahawan kecil dan sederhana sebagai suntingan untuk kembali bernafas susulan impak ekonomi pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, ia dijangka bakal bermula pada September melihat kepada kebanyakan golongan sasar tersebut tidak mempunyai modal untuk beroperasi kembali.

Katanya, pakej ditawarkan adalah bantuan kewangan tanpa penjamin kepada golongan usahawan dan peniaga kecil, yang diuruskan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad.

“Inisiatif dalam perancangan ini adalah tanpa riba (termasuk cas perkhidmatan) sebagai modal pusingan buat usahawan di luar sana.

“Dinamakan sebagai Skim Pembiayaan Mikro Bangkit BIMB-YPU menggunakan dana Sadaqa House, dana-dana yang diperuntukkan itu tidak ada hadnya, cuma suntingan itu bermula serendah RM3,000 sehingga RM20,000.

“Diharapkan agar rakyat khususnya golongan terlibat bersedia untuk membuat permohonan kepada YPU sebaik sahaja ia dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa siaran langsung Dialog Rakyat Terengganu Peringkat Besut, di Facebook TVDI, baru-baru ini.

Selain itu, Mohd Khuzaini berkata, kontraktor kecil yang memperolehi projek kerajaan badan berkanun, syarikat pautan kerajaan, syarikat tersenarai awam, PBT dan yang tidak mampu memulakan kerja kerana ketiadaan modal yang cukup juga ditawarkan bantuan melalui pakej pemfaktoran.

Katanya, kerajaan sedar ada kontraktor kecil yang mendapat projek tidak mempunyai modal yang cukup dan kerana tiada pilihan, terpaksa meminjam daripada 'along'.

Menyedari hakikat itu, jelasnya, pihaknya bersama YPU dan sebuah syarikat menyediakan skim pembiayaan pemfaktoran kepada kontraktor tersebut.

Tambahnya, untuk tahun pertama, kerajaan melalui YPU akan menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta dan akan dijadikan pusingan untuk kemudahan kontraktor membiayai 80 peratus daripada modal projek mereka.