• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kerajaan Pastikan Bekalan Vaksin Mencukupi- Amzad

KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan Malaysia menerusi kaedah diplomasi sains antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melaksanakan pendekatan pelbagai hala (multi-proged approach) bagi membolehkan negara memperolehi jaminan askes kepada bekalan vaksin Covid-19 yang sedang giat dibangunkan di seluruh dunia.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),  Ahmad Amzad Hashim berkata, jaminan akses awal dan aspek kecukupan pembekalan vaksin adalah sangat penting bagi menjamin bekalan vaksin Covid-19 dapat disediakan kepada semua lapisan masyarakat di Malaysia. 

Menurutnya, vaksin yang telah dikenal pasti hendaklah selamat dan keberkesanannya terbukti.

“Berdasarkan senarai vaksin Covid-19 daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertarikh 3 November 2020, terdapat 202 calon vaksin sedang dibangunkan dengan 10 daripadanya berada dalam ujian klinikal fasa tiga.

“Menerusi pendekatan pelbagai hala daripada diplomasi sains ini, beberapa rundingan telah dan sedang dimuktamadkan dengan pembangun vaksin di seluruh dunia termasuklah bersama kerajaan China, Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (COVAX) dan syarikat farmaseutikal luar negara yang lain,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian ketika menjawab soalan parlimen pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 tahun 2020, di Dewan Rakyat, semalam.

Tambahnya, kerajaan turut mengalu-alukan penglibatan entiti-entiti swasta dalam urusan perolehan vaksin dan mendirikan fasiliti pembuatan vaksin termasuk melalui pendekatan kerjasama awam-swasta (Public Private Partnership) sebagaimana telah dibincangkan di dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara, Julai lalu.

“Pemilihan syarikat farmaseutikal tempatan yang memenuhi syarat Amalan Perkilangan Baik (GMP) mengikut standard Pharmaceutical Inspection Co-operation Scheme (PIC/S) akan dilakukan secara telus mengikut keupayaan untuk membeli vaksin (finished product) atau mengilang pembotolan (fill and finish) produk. 

“Pemilihan pengilang yang telah memenuhi standard ini sangat penting bagi memastikan aspek pemindahan teknologi boleh berjalan dengan lancar,” jelasnya yang memaklumkan MOSTI juga sedang giat dalam perancangan untuk membangunkan Roadmap Pembangunan Vaksin Negara. 

“Pelbagai sesi libat urus telah dan sedang diadakan yang akan melibatkan pelbagai pemegang taruh seperti agensi kerajaan, universiti tempatan, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat tempatan yang mempunyai potensi dalam pembangunan vaksin manusia daripada peringkat penyelidikan sehingga pembuatan vaksin di jangka masa panjang.

“Bagi tujuan penyelarasan dalam memastikan bekalan vaksin Covid-19 diperolehi dengan segera, selamat dan sempurna,  Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan COVID-19 (JKJAV) telah ditubuhkan melalui persetujuan Jemaah Menteri pada 21 Oktober 2020," katanya.

Jawatankuasa Khas tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Dr Adham Baba yang bertindak sebagai Jawatankuasa Induk dalam merancang, melaksana dan memantau keseluruhan strategi untuk pembekalan vaksin Covid-19.

Dalqam jawapan yang dikemukan, Amzad menjangkakan bahawa bekalan vaksin Covid-19 itu mungkin akan diperoleh pada suku pertama tahun 2021. 

Menurutnya, kewajaran pertama adalah untuk tiga peratus populasi negara yang terdiri daripada para petugas ‘frontliners’ (barisan hadapan), meliputi sektor kesihatan dan keselamatan seperti doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan imigresen termasuk akses vaksin kepada masyarakat di luar bandar dan pendalaman yang tidak berkemampuan juga akan diperhalusi.

 


Tag: