Kerajaan Persekutuan Perlu Bijak Urus Krisis Petronas - Exco Terengganu

MARANG, 8 Jun - Kerajaan Persekutuan perlu bertindak bijak menghalang Syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dari membuang pekerja agar syarikat gergasi negara itu terus menyumbang kepada Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) dan beroperasi seperti biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata ia susulan syarikat minyak negara itu melaksanakan langkah 'rightsizing' melibatkan pengurangan sehingga 10 peratus tenaga kerja, bermula suku ketiga tahun 2025.

Menurutnya, perkara tersebut perlu dipandang serius oleh semua pihak.

"Rakyat melihat ura-ura PETRONAS berhasrat membuang kakitangannya suatu yang mengejutkan dan menghairankan ketika Kerajaan Persekutuan menegaskan keadaan ekonomi negara stabil dan memberangsangkan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut mempersoalkan kenapa PETRONAS mengambil langkah 'rightsizing' (penyesuaian tenaga kerja) sekiranya keadaan ekonomi negara selamat. 

Katanya, jika cadangan penstrukturan semula kakitangan PETRONAS menjadi realiti menunjukkan keadaan unjuran pertumbuhan ekonomi yang digembar gembur itu disifatkan sebagai indah khabar dari rupa.

"Kerajaan Persekutuan perlu bersikap jujur dalam menyatakan kedudukan ekonomi negara sekarang supaya semua pihak mengambil tindakan sewajarnya dalam menentukan hala tuju syarikat masing-masing.

"Ia bagi memastikan syarikat  terus berdaya saing di samping menjaga kebajikan dan kepentingan pemegah taruh termasuk pekerja dan kakitangan syarikat," ujarnya.

Dalam masa sama, PETRONAS juga perlu memikirkan bagaimana harus mengurangkan pemberian dividen kepada Kerajaan Persekutuan bukan membuang pekerja untuk pastikan syarikat terus bertahan dalam perkembangan ekonomi tidak menentu sekarang

Difahamkan PETRONAS selama ini menyumbang secara signifikan kepada KDNK, selain membayar dividen besar kepada kerajaan setiap tahun. 

Pada 2023, sumbangannya kepada hasil negara mencecah RM40 bilion. 

Justeru, apabila PETRONAS mula mengecilkan operasi, ia bukan sahaja menjejaskan ribuan pekerja, bahkan membuka risiko kepada pengurangan hasil negara.


 


Tag: