• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Kerajaan Pertimbang Beri Kelonggaran Kepada Penjaja Jalanan

KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Kerajaan negeri sedia memberi kelonggaran sementara kepada penjaja jalanan termasuk yang berniaga di kawasan persimpangan lampu isyarat sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman berkata, kebenaran itu diberikan selepas peniaga termasuk penjaja mengalami kemerosotan jualan ekoran pandemik COVID-19.

Walau bagaimanapun tegasnya, langkah tersebut tidak bermaksud kerajaan membenarkan aktiviti itu dijalankan dengan tidak mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita memahami sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu hingga sekarang semua orang susah disebabkan pergerakan terbatas.

“Jadi, kita mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada rakyat dalam tempoh dua bulan ini untuk menjana kembali pendapatan mereka. Kita juga berbincang dengan pihak penguat kuasa untuk tidak mengambil tindakan kepada penjaja jalanan,” katanya sebagaimana dilapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut Mohd Nurkhuzaini berkata, setiap penjaja perlu mengikut peraturan ditetapkan ketika menjalankan operasi perniagaan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP Pemulihan.

“Undang-undang ada, sebab itulah mereka perlu mengikut peraturan ditetapkan. Jika tidak mengganggu lalu lintas biarlah mereka untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Namun, peraturan seperti lalu lintas dilanggar, PBT akan arahkan mereka untuk berpindah ke tempat lain, bukan merampas barangan yang dijual,” katanya.

Sebelum ini kerajaan negeri tidak membenarkan aktiviti menjaja di kawasan persimpangan lampu isyarat kerana ia menjadi kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Lalu Lintas 1959 serta Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan, Akta Kawalan Harga & Anti Percatutan 2011 serta Perintah Perlabelan Barang Sedia Bungkus 1993.

Katanya, kerajaan dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah mengenal pasti mekanisme terbaik untuk membantu penjaja jalanan selepas larangan menjaja di persimpangan lampu isyarat dikuatkuasakan sejak Disember tahun lalu.

“Antaranya kita tawarkan kiosk kepada penjaja terbabit, kita juga mengalu-alukan kepada pengusaha-pengusaha datang ke YPU bagi berbincang dan mencari jalan terbaik bagi memajukan perniagaan mereka,” tambah beliau.