• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Kerajaan Peruntuk RM87,000 Untuk Majlis Belia Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Sebanyak 11 badan gabungan dan 32 cawangan persatuan belia dibawah Majlis Belia Kuala Terengganu menerima suntikan dana sebanyak RM87,000 daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bantuan bagi membantu persatuan belia mengurus organisasi dan mengerakkan program yang dirancang agar agenda pembangunan belia dan beliawanis dapat digerakkan.

“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memberikan dorongan kepada pertubuhan belia kerana pertubuhan belia merupakan rakan kongsi kepada kerajaan dalam membangunkan generasi belia dan beliawanis yang kelak akan mewarisi kesinambungan pemerintahan negeri Terengganu ini,” katanya dalam Majlis Penyerahan Bantuan Pentadbiran di Batu Buruk Beach Resort kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Majlis Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail.

Menurut Wan Sukairi, kerajaan Terengganu merupakan satu-satunya kerajaan yang memberikan bantuan pentadbiran kepada setiap pertubuhan belia.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri juga bersedia untuk memenuhi hasrat persatuan belia jika dapat meyakinkan kepimpinan kerajaan negeri.

“Saya juga ingin menyeru kepada semua para belia dan beliawanis agar dapat mencipta sejarah untuk diri sendiri dan persatuan yang diwakili agar dapat memanfaatkan usia yang ada dan sekali gus menyerlahkan bakat masing-masing," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu, Mohd Faizal Haron amat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan yang diberikan. 

Menyentuh kepada transisi peralihan had umur belia negara kepada 30 tahun yang ditangguh sementara, beliau berkata, Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu sedang bersiap sedia dan mengenalpasti calon-calon yang berbakat dibawah umur 30 tahun untuk diketengahkan sebagai pelapis kepimpinan belia.

“Di peringkat Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu, kita telah meminta Kelab Rakan Muda Kuala Terengganu untuk mengumpul seberapa ramai belia dan beliawanis dan sasaran kita adalah untuk mengumpul seramai 1,000 orang," jelasnya.

 

 

 

 


Tag: