• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Kerajaan Prihatin Kebajikan Ibu Tunggal



Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU, 17 Februari- Kerajaan negeri sangat prihatin dengan kebajikan ibu tunggal khususnya melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang menyediakan pelbagai bentuk skim bagi membantu membiayai kos sara hidup golongan ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ridzuan Hashim berkata, antara skim yang popular adalah Program Jati Diri (PJD) yang banyak dipohon untuk pelbagai bidang khususnya kecantikan, makanan dan pakaian.

“Malah kompleks ibu tunggal yang dibina di Chendering dengan kos RM4.4 juta turut membuktikan kerajaan sangat serius dalam membantu mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Tautan Kasih Ibu Tunggal Dun Buluh Gading yang dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Pusat Khidmat ADUN Buluh Gading di Dewan Sivik Kg Buluh Gading, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah YPKT, YM Tuan Roslina Tuan Sulaiman, Pegawai YPKT Kuala Nerus, Amirul Azhar Mamat dan Pengerusi Kelab Ibu Tunggal Dun Buluh Gading, Norliza Abdullah.

Katanya, sleain YPKT  terdapat pelbagai agensi lain yang dapat membantu ibu tunggal, antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) dan juga Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi yang berminat untuk menjadi usahawan.

“Saya berharap agar pihak YPKT tidak menekankan aspek material dan fizikal sahaja,  tetapi juga program yang bersifat pembangunan rohani dan dalaman untuk membina keyakinan supaya mereka tidak sesekali merasa kecewa dengan ketentuan Allah SWT akibat kehilangan org tersayang dan keperitan menanggung keluarga,” ujarnya.

Menurut beliau, sebanyak 32,411 orang ibu tunggal dicatatkan di negeri ini sehingga Jun 2018 seperti yang telah dibentangkan dalam sidang Dewan Udangan Negeri (DUN) pada Julai tahun lalu.

“Kemaman mendominasi sebagai daerah paling tinggi mencatat bilangan ibu tunggal berbanding daerah lain negeri ini,” ujarnya.






Tag: