• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Kerajaan Pusat Dan Negeri Berkerjasama Hadapi Musibah Banjir

KEMAMAN, 20 Disember – Barisan kepimpinan negeri daripada peringkat pusat sehingga ke Dewan Undangan Negeri (DUN) giat berganding bahu dalam memastikan keselamatan dan kebajikan buat mangsa banjir di daerah Kemaman.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, berkata, lawatan kerja tersebut diadakan di kawasan terjejas dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekitar DUN Kijal dan Kemasik.

“Antaranya pihak kami telah melawat salah satu PPS di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ranggon, buat sementara waktu usaha sama melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam memastikan bantuan keperluan harian disalurkan.

“Kita akan pantau keadaan dari semasa ke semasa tentang keperluan rakyat Terengganu, saya akan pastikan sebarang perkembangan dan inisiatif baharu disampaikan kepada kementerian berkenaan,” katanya ketika ditemubual pemberita, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.

Tambah beliau lagi, jentera penyelamat dan kakitangan yang terdiri daripada pihak NADMA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta di peringkat negeri, DUN, Parlimen dan Exco sentiasa memberi tumpuan ketika musim banjir ini.

“Ini kerana isu melibatkan keselamatan nyawa dan kerosakan benda tinggi risikonya. Rekod-rekod kita turut menunjukkan bahawa persediaan bagi bencana ini ditahap yang tinggi,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai situasi banjir di Kemaman, beliau berkata, setakat jam 10 malam, seramai 4962 mangsa terkesan terdiri daripada 1199 keluarga dan 24 PPS telah dibuka.

Menemubual seorang mangsa di PPS tersebut, Ibrahim Mohd, 78, menceritakan keadaan rumahnya dipenuhi air sehingga paras betis di Damansara, Kertih pada jam 1 pagi.

Ibrahim yang mendiami rumah bersama seorang anaknya, berkata, dia memang tidak sedar langsung air naik kerana tidur ketika hujan turun pada malam itu.

“Barang pun ada yang sempat naik ada yang tidak, nasib baik anak yang tinggal bersama kejutkan pada awal pagi tadi,” katanya.